Pematuhan SOP rendah punca kes Covid-19 di Kelantan tinggi

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Tahap pematuhan rakyat Kelantan terhadap prosedur operasi standard (SOP) diangggap masih rendah terutamanya membabitkan penerima dua dos vaksin Covid-19.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, situasi itu menjadi antara punca jangkitan pandemik Covid-19 masih lagi tinggi di negeri itu.

Katanya kes jangkitan Covid-19 di Kelantan masih lagi tinggi walaupun capaian sasaran vaksinasi imuniti kelompok berjaya dilaksanakan.

- Advertisement -

“Kita akui, memang masih tinggi, seluruh negara pun sama. Kes harian masih tinggi antara punca besarnya ialah tahap pematuhan SOP yang rendah dalam kalangan mereka yang sudah mendapat dua dos.

“Mereka yang sudah dapat dua dos buat tidak kisah, tidak jaga penjarakan, tidak pakai pelitup sebab mereka merasa seperti sudah kebal sebab sudah lengkap cucuk dos vaksin,” katanya selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan MABNA, Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Kes harian Covid-19 di Kelantan semalam mencatat 597 kes baharu, menjadikan jumlah kumulatif sehingga sekarang sebanyak 132,600.

Mohd Amar juga berkata, kerajaan negeri menekankan supaya kesedaran dalam kalangan mereka yang sudah menerima dua dos supaya sentiasa menjaga SOP dengan baik.

Ketika ditanya mengenai dos penggalak melibatkan kakitangan kerajaan negeri kata beliau, sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang keputusan sama ada perlu atau tidak.

Namun katanya, sebarang tindakan dan keputusan lanjut bergantung kepada dasar ditetapkan kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). – HARAKAHDAILY 20/10/2021

- Advertisement -