PAS Putatan semarakkan sambutan Maulidur Rasul

Oleh AISYAH RAMADHA ISMAIL

PUTATAN:
PAS Kawasan Putatan mengambil pendekatan berlainan dalam menyemarakkan bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW.

Kemeriahannya tetap dirasai walaupun disambut dalam keadaan sederhana dan mematuhi SOP yang ditetapkan pihak berkuasa.

Advertisement

Seramai 20 petugas mengedar buah tangan kepada pengunjung dua buah pasar raya dalam kawasan Parlimen Putatan, semalam.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS kawasan, Nursam Mohammad berkata edaran buah tangan itu adalah sebagai tanda usaha menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul yang setiap tahun diraikan.

“Ini adalah sambutan yang sering kita raikan bersama cuma tahun ini PAS Kawasan Putatan membuat sedikit kelainan dengan mengedar buah tangan kepada pengunjung dan memberi kad ucapan untuk kita rasai bersama sambutan Maulidur Rasul.

“Sebagai umat Islam, kita seharuskan menzahirkan rasa cinta kepada junjungan besar Nabi kita Muhammad SAW dengan meraikan hari kelahiran Baginda, berselawat dan mengajak orang ramai turut berselawat dan menyebarkannya,” ujarnya lagi.

Beliau juga mengajak umat Islam terus mempelajari keperibadian dan perjuangan Nabi Muhammad SAW agar menjadi teladan dalam kehidupan seharian.

Lebih 100 orang yang mendapat edaran buah tangan berbentuk cup cake dan berpeluang menerima cabutan bertuah bertema Maulidur Rasul. – HARAKAHDAILY 20/10/2021