Menang atau tidak, agenda Islam tetap dimartabatkan

- Advertisement -

BENTONG: Mesyuarat Agung PAS Kawasan Bentong Kali Ke-37 mengekalkan Khairuddin Abdullah selaku Yang Dipertua PAS bagi penggal kedua dalam pemilihan yang berlangsung di Dewan Pusat Pendidikan Al-Makmur (PUSPA), Pelangai baru-baru ini.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua, Ustaz Roslan Md Esa akur melepaskan jawatan dipikulnya sebelum ini kepada Ustaz Ahmad Junaidi Ishak, selain mesyuarat mengekalkan Samsudin Abdullah sebagai Naib Yang Dipertua.

- Advertisement -

Khairuddin, 62, di dalam ucapan penangguhannya berkata, beban dan amanah yang dipikulnya ini sungguh berat dan beliau berlapang dada serta bersedia menerima teguran.

“Kita ambil contoh zaman Sahabat R.A, Saidina Umar dilantik menjadi khalifah, beliau dengan lantang menyeru agar ditegur jika menyeleweng dengan berkata, “Sesiapa antara kamu melihat pada diriku suatu penyelewengan, maka luruskanlah ia”.

“Lalu, bangkit seorang lelaki Arab Badwi berkata, “Demi Allah wahai Umar, sekiranya kami mendapati kamu menyeleweng, nescaya kami akan luruskan kamu dengan pedang kami yang tajam ini”.

“Tegurlah saya jika saya buat kerja tak betul, saya bersedia menerima teguran,” ujarnya di hadapan kira-kira 117 orang perwakilan cawangan yang hadir pada mesyuarat pemilihan kepimpinan baharu PAS Kawasan sesi 2021-2023.

Ujarnya lagi, peribahasa Melayu `menang jadi arang, kalah jadi abu, adalah kurang tepat untuk diikuti bagi sesebuah organisasi atau pertubuhan yang berorientasikan Islam seperti PAS.

“Dalam PAS, yang menang dan yang tak menang terus bekerja mengikut level masing-masing. Banyak lagi yang boleh dibantu kerana kerja-kerja Islam ni terlalu banyak dan boleh dibuat walaupun tak pegang jawatan apa-apa,” tegas Khairuddin.

Sementara itu, Ketua PAS Cawangan (KPC) FELDA Kemasul, Ustaz Abdul Hamid Bahatim, menarik perhatian para perwakilan dengan ucapan dan nasihat beliau yang penuh berhikmah dan berhemah.

“Kemenangan dalam perjuangan Islam yang sebenarnya, apa dia? Penyatuan ummah dan ukhuwwah yang kuat di dalam jamaah, itulah kemenangan Islam,” ujar Naib Ketua Urusan Ulamak PAS Bentong itu.

Ustaz Hamid yang pernah berkhidmat sebagai Yang Dipertua PAS Bentong selama 20 tahun itu turut melontar peringatan agar sekalian ahli PAS menjaga adab dan akhlak yang baik sesama jemaah. 

“Jangan ada sikap yang tidak baik dalam jemaah sebab kita bekerja ni tuan-tuan, bekerja dengan siapa? Dengan Allah! Tuan-tuan bukan bekerja dengan Pesuruhjaya PAS Pahang, tuan-tuan bekerja dengan Allah.

“Yakinlah dengan kerja buat kita, banyakkan menghadiri program-program tarbiyah dan sebagainya dan ukhuwwah itu yang paling penting kerana itulah kemenangan yang terbesar, kalau tak dapat kerusi pun takpa,” ujar beliau ketika ucapan penangguhan disambut dengan laungan takbir.

PAS Bentong sepakat memilih Pelangai iaitu pintu masuk sebelah selatan Malaysia ini sebagai usaha memugar kembali semangat sekali gus merai ahli-ahli di DUN Pelangai setelah lebih 20 tahun tidak mengadakan mesyuarat di sini. – HARAKAHDAILY 20/10/2021

- Advertisement -