Malaysia nafi kenyataan mungkin sertai Perjanjian Abraham

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Malaysia secara tegas menafikan kenyataan oleh menteri Israel semasa wawancara dengan Erem News baru-baru ini yang mendakwa Malaysia mungkin akan menyertai Perjanjian Abraham dan menormalkan hubungan dengan Israel.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdulllah pada Rabu berkata Malaysia teguh dengan komitmennya yang senantiasa menyokong perjuangan rakyat Palestin dan menentang pencerobohan Israel yang berterusan serta penindasan sistematik di bumi Palestin.

- Advertisement -

Beliau berkata Malaysia akan terus aktif melaksanakan agenda bilateral Palestin, termasuk dalam pelbagai forum serantau dan antarabangsa untuk merealisasikan aspirasi rakyat Palestin demi kebebasan dan Negara Palestin yang merdeka.

“”Sokongan berterusan Malaysia kepada perjuangan Palestin juga sebagai pengiktirafan terhadap aspirasi generasi baharu pejuang dan aktivis Palestin,” katanya dalam satu kenyataan.

Saifuddin berkata Malaysia akan terus memberikan sokongan politik dan moral, serta bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin dan menerusi organisasi antarabangsa seperti Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) di Timur Dekat serta memudahkan kerja-kerja pertubuhan masyarakat awam Malaysia bagi rakyat Palestin.

Menurut laporan media, Menteri Kerjasama Serantau Israel, Issawi Frej pada Isnin berkata bahawa Oman, Tunisia, Qatar, dan Malaysia mungkin menyertai Perjanjian Abraham.

Bekas pentadbiran Amerika Syarikat Donald Trump memulakan Perjanjian Abraham 2020, yang menyaksikan beberapa negara iaitu Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Sudan dan Maghribi, menormalkan hubungan dengan Israel. – BERNAMA

- Advertisement -