Lima inisiatif PENJANA HRD Corp bantu rakyat

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Sebanyak lima skim telah diperkenalkan Kementerian Sumber Manusia melalui inisiatif PENJANA Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) bagi membantu rakyat dalam mendapat penempatan pekerjaan, bekerja sendiri serta menambah dan meningkatkan kemahiran mereka.

Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Awang Hashim, lima skim tersebut terdiri daripada  penempatan dan latihan, B40 Development, SME Development, Industrial Revolution 4.0 dan Gerak Insan Gemilang (GIG).

- Advertisement -

“Berdasarkan statistik terkini, Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) telah meluluskan sebanyak 85,527 pelatih bagi mengikuti skim-skim yang melibatkan penempatan pekerjaan dan pekerjaan kendiri ini. 

“Daripada jumlah tersebut, 67,255 pelatih telah diluluskan bagi mengikuti skim yang berkenaan,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta Ir.Ts Haji Khairil Nizam Khirudin menyatakan jumlah belia yang telah mendapat latihan melalui Program Latihan (Reskilling dan Upskilling) di bawah Program Insentif Penjanakerjaya yang telah diumumkan oleh Kementerian.

Selain itu, kata Awang, PSMB juga memiliki Pusat Penempatan PSMB (HRD Corp Placement Centre) (HPC) yang berperanan sebagai platform untuk memadankan pekerja dengan peluang pekerjaan yang tersedia oleh majikan berkaitan industri Perkhidmatan, Pembuatan serta lain-lain industri lagi.

“Berdasarkan statistik terkini, sebanyak 35,820 peluang pekerjaan tersedia melalui Pusat Penempatan PSMB dan lebih 4,000 pekerja berjaya ditempatkan melalui inisiatif ini sejak pelancarannya pada April tahun ini,” katanya.

Sementara itu menurutnya,  bagi Jana’Preneur yang merupakan platform iklan dalam talian menghubungkan pembeli dan penjual dalam mempromosikan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh penjual pula, akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Tambah Awang, menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) iaitu agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia, seramai 4,796 pekerja telah diluluskan untuk menyertai program latihan di bawah program PENJANA melibatkan dana sebanyak lebih RM2.2 Juta. – HARAKAHDAILY 20/10/2021

- Advertisement -