Label Arak Timah: Kerajaan didesak tarik semula jualan

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Senator Dato’ Razali Idris mendesak kerajaan menarik semula kebenaran penjualan arak Timah di pasaran berikutan kontroversi label minuman keras itu.

Menurutnya, jenama Timah yang digunakan seiras dengan yang kebiasaan yang digunakan oleh orang Islam, iaitu Fatimah.

- Advertisement -

“Label itu menunjukkan gambar pakai kopiah dan berjanggut, seolah-olah menunjukkan imej orang Islam, sedangkan dalam Islam diharamkan arak.

“Jadi saya fikir, kita minta kerajaan tarik balik penjualan arak tersebut. Adakah kerajaan akan tarik balik arak tersebut?” katanya mengajukan soalan tambahan di Dewan Negara, hari ini.

Sementara itu, Senator Ahmad Yahaya turut membangkitkan isu sama dengan meminta penjelasan daripada Kementerian Kewangan (MoF) bagaimana arak Timah itu diluluskan penjualannya.

Katanya, beliau difahamkan bahawa label Timah yang digunakan itu mempunyai kaitan dengan bahan galian Timah.

“Tetapi jenama arak ini menimbulkan masalah dan ada yang mengaitkan jenama arak itu dengan nama Fatimah, sempena nama anak kelahiran junjungan Rasulullah SAW dan ini menimbulkan polemik dalam negara,” katanya.

Menjawab persoalan itu, Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa menjelaskan, minuman keras itu dikeluarkan oleh syarikat Winepak Corporation (M) Sdn. Bhd. 

Katanya, ia bukan produk yang baru dan syarikat berkenaan merupakan pelesen eksais sedia ada sejak 2003.

“Arak Timah ini merupakan minuman keras jenis wiski, ia bukan produk baharu dan bukan menggunakan lesen baharu yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Pelabelan produk tersebut diluluskan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Kewangan (MoF) juga sejak 2005 telah membekukan semua lesen eksais minuman keras yang baharu,” katanya.

Menurut Yamani Hafez, di bawah polisi pembekuan eksais MoF, terdapat beberapa aktiviti yang tidak dibenarkan kepada pemilik lesen.

Polisi tersebut katanya adalah larangan pembesaran premis dan peningkatan kuantiti sedia ada, pertukaran pemindahan premis pengilangan ke dalam zon bebas dan mempelbagaikan produk sedia ada. 

Katanya lagi, sejak dasar pembekuan dilaksanakan, tiada lesen eksais baharu dikeluarkan bagi aktiviti pengilangan rokok atau minuman keras.

Malah, Kementerian Perdagangan Antabangsa dan Industri (MITI) juga telah membekukan lesen pengilangan bagi produk berduti eksais di bawah Akta Penyelarasan Perindustrian 1975, sejak 2003, katanya.

Namun begitu, Yamani Hafez tidak memberikan sebarang jawapan sama ada kerajaan akan mengambil tindakan terhadap penjualan arak Timah.

“Perkara ini memang perkara yang sensitif dan kita tidak boleh mengawal pandangan masyarakat tentang sebuah imej dan label, biarpun dalam imej label yang ada di situ ialah Kapten Speedy yang mempunyai nilai dari segi sejarah berkaitan negara tentang permulaan pembawaan minuman keras di negara ini.

“Nama itu seperti yang dikatakan dari awal tadi, ia diluluskan oleh KKM, namun saya tak boleh juga memberi kepastian mengenai kementerian mana yang boleh membuat keputusan berhubung cadangan yang dibuat oleh Senator Razali,” katanya.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, perkara itu boleh dibawa ke peringkat jawatan kuasa Parlimen untuk sebarang tindakan supaya kementerian berkaitan dapat menilai semula berhubung isu itu. – HARAKAHDAILY 20/10/2021

- Advertisement -