Harap isu tanah Kg Chendor Baru diselesaikan

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Kampung Chendor Baru yang meletus isu pendudukan, pemilikan dan pembangunan tanah antara penduduk dan syarikat Perbadanan Kerajaan Negeri, Pasdec Holdings Berhad perlu diselesaikan secara baik.

ADUN Beserah, Andansura Rabu berkata, terdapat 17 rumah persendirian yang dibina lebih 40 tahun lalu di mana telah diberikan notis sejak tiga tahun lalu mengenai status pemilikan tanah tersebut oleh pihak Pasdec.

- Advertisement -

Menurut beliau, penduduk berkenaan pernah membuat permohonan untuk mendapatkan pemilikan tanah tersebut, namun tidak berjaya, sebaliknya tanah tersebut telah diberikan kepada Pasdec untuk dimajukan.

“Saya kunjungi pejabat Pasdec Holdings Berhad baru-baru ini bagi mendapatkan maklumat berkenaan hal tersebut. Menurut Pasdec, tanah tersebut telah dipohon mereka sekitar tahun 90-an dahulu dan permohonan mereka telah diluluskan pada tahun 2011. 

“Bagaimanapun, keluasan tanah yang diluluskan jauh lebih kecil daripada saiz yang dipohon. Saya akur bahawa saya tidak boleh mempertikai hak pemilikan yang telah mereka perolehi. 

“Bagaimanapun, saya telah berikan beberapa cadangan kepada Pasdec bagi menyelesaikan perkara ini. Antaranya, saya pohon kepada mereka untuk memberikan tempoh yang wajar dan mencukupi sekiranya penduduk terlibat perlu meninggalkan tanah yang mereka diduduki. 

“Keduanya, saya meminta mereka untuk memohon dengan Kerajaan Negeri bagi menyediakan lot-lot tanah alternatif kepada penduduk terlibat agar kebajikan mereka tidak terabai dan mereka mendapat pilihan yang wajar. 

“Insya-Allah, saya akan membuat susulan berhubung perkara ini bagi menjaga kepentingan semua pihak,” ujar beliau yang juga pernah menyuarakan isu sama di Persidangan DUN Pahang baru-baru ini. 

Beliau turut akan meneliti semula senarai penduduk terlibat kerana dikatakan terdapat perbezaan antara senarai dikemukakan oleh Pasdec Holding Berhad, dengan senarai diberikan kepadanya oleh wakil penduduk. 

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang yakin Kerajaan Negeri boleh menyelesaikan hal ini dengan baik untuk kebaikan dan kepentingan semua pihak.

Beliau juga sangat menghargai Pengarah Urusan Pasdec Holding, Tew Kim Kiat dan Naib Presiden Kanan Projek, Kamal Hakim Abd Rahman, serta para pegawai mereka kerana sedia menerima kunjungan beliau dan memberikan penjelasan serta maklumat yang diperlukan. 

Sementara itu salah seorang penduduk tersebut, Mohd Rashid Mohd Rani 44 tahun berkata, beliau merupakan generasi kedua mendiami tapak rumah tersebut di mana ayahnya sudah memohon tanah itu tetapi sehingga ayahnya meninggal belum ada kata putus.

Beliau yang mempunyai dua orang anak, bekerja sebagai buruh pembinaan, melahirkan rasa kegelisahannya kerana kerja-kerja pembersihan telah dibuat dan jentera pembinaan pula telah bertapak di kawasan tanahnya. 

“Di manalah kami nak tinggal, selama ini di sinilah tempat kami bertumpang teduh, tak kisahlah nak ambil tanah ini, tapi sediakanlah tempat tinggal kami terlebih dahulu,” ujarnya lagi. 

Mohd Effendi Zainal Abidin, seorang pekerja swasta di Pelabuhan Kuantan menyatakan rumah yang didiaminya itu sejak dia dilahirkan, dan kini usianya telah 48 tahun, namun tanah tersebut masih gagal dimiliki oleh keluarganya. 

Beliau yang mempunyai lima anak mengharapkan agar perkara ini dapat diselesaikan dengan baik, dengan mengambil kira kebajikan mereka telah mendiami tanah termasuk antara dua hingga tiga generasi. 

Menurut mereka sebelum ini mereka telah berusaha untuk mendapatkan status permohonan tanah tersebut, tetapi gagal dan mengharapkan dengan bantuan Andansura agar perkara ini dapat diselesaikan dengan segera. – HARAKAHDAILY 20/10/2021

- Advertisement -