Golongan antivaksin digesa bersikap proaktif

Azlan Safa
- Advertisement -

Oleh KAIROL ZULHAIDI

KUALA LUMPUR: Golongan antivaksin digesa agar berfikiran proaktif  bahawa pengambilan vaksin akan menjamin kesihatan diri dan melindungi masyarakat di negara ini daripada jangkitan Covid-19.

Dalam tinjauan HarakahDaily di ibu kota Kuala Lumpur, rata-rata orang ramai berkongsi pengalaman dan pandangan tentang golongan yang enggan divaksin dan langkah-langkah terbaik bagi mengatasi pemikiran negatif golongan antivaksin.

- Advertisement -

Seorang pengurus di sebuah syarikat swasta, Azlan Safa, 37, berkata, individu yang enggan mengambil vaksin ini sebenarnya telah menyusahkan banyak pihak kerana seseorang itu akan mudah terkena jangkitan Covid-19 dan menyebarkan virus ini  sekiranya tidak divaksinasi.

Menurutnya, apabila seseorang itu tidak divaksinasi, ia meningkatkan risiko bahaya mereka kepada Covid-19 seterusnya hal ini akan menyebabkan penularan jangkitan kepada orang-orang di sekeliling mereka. 

Katanya lagi, apabila seseorang telah mengambil vaksin, ini bermakna individu tersebut telah melindungi dirinya dan meningkatkan antibodi diri masing-masing agar virus tidak merebak ke tempat yang lebih jauh.

“Saya mempunyai seorang rakan baik yang enggan mengambil vaksin sebelum ini, Kebimbangan utamanya  adalah disebabkan takut  dengan ‘bahan-bahan’ yang digunakan dalam vaksin itu sendiri dan bimbang sama ada vaksin itu sesuai dengan tubuhnya ataupun tidak.

“Sejurus selepas saya dan rakan-rakan tahu tentang rakan baik kami yang tidak mahu mengambil vaksin ini, kami telah memberikan galakan dan sokongan agar kawan saya turut mengambil vaksin. Kami maklumkan tentang sebab-sebab dan kepentingan-kepentingan  perlunya mengambil vaksin kepadanya dan akhirnya dia sedar akan kepentingan vaksin dan akur untuk mengambilnya. Alhamdulillah, sekarang dia sihat walafiat setelah menerima vaksin,” katanya.

Tambah Azlan, terdapat individu yang takut untuk mengambil vaksin kerana khuatir dengan kesan -kesan yang memudaratkan kesihatan selepas mengambil vaksin.  Seperti diketahui umum, doktor dan petugas kesihatan sentiasa memberi panduan dan nasihat tentang status kesihatan individu sama ada mempunyai penyakit tertentu atau tidak. 

“Justeru, sebelum mengambil vaksin sewajarnya kita telus dan berterus terang tentang segalanya seperti status kesihatan, alergik dan sebagainya kepada doktor atau petugas kesihatan.Doktor dan petugas kesihatan sememangnya  sangat arif dalam memberikan vaksin tertentu kepada kita berdasarkan tahap kesihatan seseorang itu,” ujarnya. 

Sementara pesara kerajaan, Hadi Ismail, 43, pula berkata, golongan antivaksin kemungkinan terlalu memikirkan tentang keburukan yang keterlaluan dan mempunyai kerisauan yang tidak munasabah terhadap kesan pengambilan vaksin. 

“Golongan antivaksin memerlukan lebih banyak bukti tentang manfaat vaksinasi dan perlu lebih diyakinkan oleh orang sekeliling mereka tentang kepentingan vaksin,” katanya.

Hadi Ismail

Sehubungan itu, sesi penerangan ilmiah dengan menjemput golongan pakar perlu diberikan kepada golongan aktivaksin ini dan membawa golongan ini ke lapangan bagi melihat sendiri kesan Covid-19 kepada keluarga mangsa secara terus.

“Kerajaan juga perlu memberikan pendekatan berbentuk pembuktian dengan mendapatkan individu-individu yang awalnya merupakan antivaksin Covid-19 tetapi telah berubah arah dan telah menerima suntikan vaksin untuk memberikan pandangan dan pengalaman mereka setelah divaksin,” ujarnya kepada HarakahDaily, di sini, hari ini. 

Justeru, melalui pendekatan berbentuk pembuktian secara terus ini diharap akan dapat memberikan lebih kepercayaan dan keyakinan kepada mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Dalam pada itu, Sern Layang, 29, yang merupakan seorang kakitangan kerajaan berkata, individu yang enggan divaksinasi ini mempunyai alasan tersendiri sama ada faktor kesihatan atau mungkin kerana was-was berkaitan isu halal dan haram.

“Langkah kerajaan untuk  memfokuskan dgn mencapai imuniti kelompok sehingga mencecah 100 peratus komuniti yang mengambil vaksin adalah  langkah proaktif. Hal ini demikian kerana kes-kes yang positif Covid-19 sekarang bukan lagi kes yang berat kerana kebanyakan kes adalah di tahap satu dan dua,” ujarnya.

Sern Layang

Katanya, sekiranya wujud ramai individu yang enggan lagi divaksinasi maka kerajaan hendaklah mengenakan tindakan yang bersesuaian kepada mereka agar mereka mengubah pendirian dan memikirkan tentang masyarakat sekeliling.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan bukan berniat mahu menyusahkan mana-mana pihak dengan mengenakan pelbagai peraturan ketika menangani pandemik Covid-19.

Sebaliknya, golongan yang enggan mengambil vaksin, tegas Ismail Sabri, hanya menyusahkan diri sendiri kerana tidak menikmati kemudahan yang diberikan kerajaan berbanding mereka yang telah lengkap vaksinasi.

Bahkan, tegas beliau, golongan itu juga hanya menyusahkan diri sendiri apabila tidak dibenarkan masuk ke dalam masjid, pasar raya dan merentas negeri berbanding penerima lengkap dua dos vaksin. – HARAKAHDAILY 20/10/2021

- Advertisement -