Belum terima laporan isu ceroboh Hutan Simpan Ulu Galas

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Kerajaan negeri masih belum menerima laporan terperinci daripada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan berhubung pencerobohan Hutan Simpan Ulu Galas dekat Kampung Pulai, Gua Musang.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, berdasarkan maklumat awal yang diperolehi sememangnya berlaku pencerobohan di kawasan hutan berkenaan.

“Saya sendiri belum terima sebarang laporan daripada Jabatan Perhutanan. Kita tunggu laporan rasmi, cuma dari segi maklumat awalnya memang berlaku pencerobohan.

- Advertisement -

“Maknanya mereka telah menceroboh kawasan hutan simpan tanpa kebenaran dan telah menanam secara haram. Jadi tindakan yang mereka buat itu adalah menyalahi undang-undang.

“Siapa-siapa nak masuk hutan simpan kena ada kebenaran. Lebih lagi kalau pergi buat kebun itu memang kesalahan besar,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan MABNA, Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, lebih 30 pengusaha kebun durian Musang King dan getah seluas 90 hektar di Kampung Pulai diarah pihak berkuasa supaya mengosongkan kawasan itu setelah 25 tahun mengusahakannya.

Dalam notis pengosongan bertarikh 30 September lalu yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan, mereka didakwa meneroka Hutan Simpan Ulu Galas secara haram dan dikehendaki mengosongkannya dalam masa 14 hari. – HARAKAHDAILY 20/10/2021

- Advertisement -