Banjir: 680 petugas kesihatan akan digerakkan di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Seramai 680 petugas Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu akan digerakkan untuk membantu mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri itu pada tahun ini.

Pengarahnya Datuk Dr Kasemani Embong berkata daripada jumlah itu seramai 322 petugas akan mengendalikan aktiviti pencegahan di samping kawalan penyakit sebelum, semasa dan selepas banjir di PPS atau di kawasan yang terjejas banjir.

Advertisement

Beliau berkata setiap pasukan terdiri daripada tiga petugas iaitu penolong pegawai kesihatan persekitaran, pembantu kesihatan awam dan pemandu.

“Selain itu 358 petugas lagi akan memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan, rawatan dan rujukan jika berlaku sebarang kejadian kecemasan di PPS.

“Mereka ialah pegawai perubatan, pembantu pegawai perubatan, jururawat terlatih, jururawat masyarakat dan pemandu yang sentiasa bersiap sedia apabila diarahkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata jabatan akan memastikan kesiapsiagaan menghadapi banjir di semua daerah dilakukan dengan teliti apatah lagi ketika negara masih berdepan pandemik Covid-19.

“Walaupun kes Covid-19 di Terengganu telah menunjukkan trend penurunan, tetapi kita tidak boleh leka. Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mesti diutamakan bagi membendung penularan Covid-19 di PPS.

“Perkhidmatan diberikan mestilah secara cepat, cekap, teratur dan berkesan dengan memberi keutamaan kepada perkhidmatan yang berkualiti melalui konsep penilaian risiko dan akan cuba memastikan semua mangsa banjir berada dalam keadaan yang sihat dan bebas daripada penyakit berjangkit yang berkaitan dengan banjir,” katanya.

Beliau berkata fokus juga perlu diberi kepada beberapa aspek lain bagi memastikan objektif jabatan tercapai antaranya persediaan PPS dari segi pematuhan SOP dalam penempatan mangsa banjir mengikut penilaian risiko termasuk saringan awal sebelum kemasukan ke PPS.

“Kesiapsiagaan di lapangan dari aspek penyediaan pasukan perubatan, pasukan kesihatan, fasiliti kesihatan, ubat-ubatan, alatan dan ambulans serta lain-lain logistik juga diteliti dengan terperinci.

“Begitu juga pengurusan sajian iaitu penyediaan makanan untuk mangsa banjir di PPS mestilah bersih dan selamat untuk dimakan dan memastikan tidak berlaku penularan Covid-19 atau apa-apa penyakit di PPS,” katanya. – BERNAMA