Arwah Adib dan arak Timah

- Advertisement -

TAHNIAH PAS! Pilihan PAS untuk bersama menyelamatkan Kerajaan Malaysia dari PH ternyata tepat. Biarpun PAS terpaksa melupakan semua persengketaan panjang dengan Umno dan BERSATU yang sebahagian besar adalah juga pimpinan Umno, namun ianya ternyata berbaloi. Demi membuktikan kesetiaan, PAS telah bertungkus lumus membantu BN dalam beberapa PRK sebelum itu.

Keruntuhan Kerajaan PH akibat ‘luka lama’ Anwar dan Tun Mahathir berdarah kembali, disambut MN yang dianggotai PAS dan Umno yang akhirnya membentuk Kerajaan PN. Biarpun hubungan itu masih dibayangi prasangka dan curiga, namun ia mampu menyekat PH dari kembali berkuasa termasuk meruntuhkan PH di Perak, Kedah, Melaka dan Johor. Gelombangnya juga melanda PRN Sabah.

- Advertisement -

Sebagai kerajaan yang dibina atas matlamat menyelamatkan negara dan bukannya saling menyinta, tentunya ia mengambil masa untuk membina cinta itu. Apatah lagi masih wujud bayangan cinta lama secara gelap dengan Anwar dan sekutunya. PAS mengambil peranan cuba meredakan sengketa antara Umno dan BERSATU.

Dalam melayari bahtera negara yang telah rosak angkara 22 bulan PH dan kerosakan lama angkara usangnya bahtera itu, bukan mudah ia untuk kembali dibina. PAS sebagai Parti Islam terus diserang dari palitan judi, arak dan skandal peribadi rakan kerajaannya.

Isu Adib yang ‘dikebumikan’ kesnya dan dibebaskan ‘pelaku’ di zaman PH, dibebankan kepada PAS, yang kononnya membisu. Hasil perjuangan di meja rundingan sesama rakan, kes Adib diberi pembelaan dengan penubuhan siasatan semula. Biarpun sukar kerana tertuduh yang disyaki telah dibebaskan di zaman PH dan kini hilang entah ke mana namun harapan mendapatkan keadilan masih ada. Ternyata PAS masih tegas bersuara dan kerajaan yang ada boleh diletakkan harapan.

Dalam kemelut ekonomi ‘hampir muflis’ PH ditambah dengan pandemik COVID-19, muncul pula cabutan judi yang kononnya ditambah. Gegak gempita PH yang semua tahu penyokong DAP adalah ‘tauke besar’ industri ini. Mereka menyerang PAS yang kononnya telah hilang suara. Dalam keadaan serangan kepada PAS tanpa perjuangan menghapuskan judi oleh PH, suara bantahan PAS bergegar di Parlimen dan luar Parlimen. PAS ternyata menentang judi yang menjadi punca hilangnya keberkatan. Ia tidak berhenti dan perjuangan masih berlangsung dengan sedikit kuasa yang ada.

Bantahan PAS datangnya dari segenap peringkat, namun yang buta dan pekak terus menjadi belatuk yang sentiasa mengangguk dan kakak tua yang mengulang butir kata tuannya. Mereka seakan tidak membaca dan mendengar bantahan PAS dari Dewan Parlimen dan meja rundingan dalam kerajaan. Ternyata PAS, terus bersendirian membawa suara Islam. Musuh yang marah kononnya PAS membisu juga ‘tertidur’ untuk menyokong suara PAS di Parlimen.

Terkini, tiba-tiba muncul pula arak jenama Timah. Sekali lagi wira buta dan pekak ini terus menyerang PAS. Mereka lupa bahawa Timah adalah anak haram yang mereka manjakan sepanjang 22 bulan berkuasa. Ia bukan lahir dalam kerajaan yang PAS bersamanya. 

Seperti biasa, serangan dihalakan kepada PAS seolah-olah hanya PAS yang Islam. Peliknya suara itu hanya menyalahkan PAS tanpa berjuang menentangnya. Ketika PAS menyarankan kawalan arak di Kuala Lumpur, tiada sokongan dalam Parlimen malah mereka bersama tertawa apabila rakan DAP mereka Teresa Kok menyindir wakil PAS Terengganu yang menimbulkan isu tersebut.

Dalam isu Timah, PAS sekali lagi bersuara di luar dan dalam kerajaan. YB Ustaz, Idris Ahmad yang juga Naib Presiden PAS dan Menteri Agama telah memainkan peranan mendesak rakan Kabinetnya mengambil tindakan menyekat arak ini.

Ternyata serangan kepada PAS dalam isu agama hanyalah untuk mengalihkan kepercayaan dan harapan rakyat kepada PAS. Harapan yang tinggi itu masih ada. Walaupun ada yang meluahkan kekecewaan kerana mata mereka dibutakan oleh musuh PAS, namun apabila mereka membuka mata dan telinga, ternyata PAS masih satu-satunya harapan menjadi suara ummat Islam dalam negara. 

Dengan hanya 18 kerusi Parlimen, PAS mampu menjadi pemain utama ummat Islam, pastinya PRU15 menjadi medan untuk rakyat meletakkan harapan agar suara PAS mampu dominan dalam Kerajaan Malaysia. PAS telah buktikan di Kelantan dalam pemerintahan lebih 30 tahun. Ternyata Kelantan adalah gambaran Negeri Melayu yang bebas arak dan judi tanpa kawalan. PAS telah buktikan.

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 20/10/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000122032873/posts/7040624179284913/

- Advertisement -