PAS Raub angkat muka lama dan baharu

- Advertisement -

RAUB: Mesyuarat Agong Tahunan (MAT) PAS Kawasan Raub Kali Ke-54 telah dilangsungkan bertempat di Markas Tarbiyah Islamiyah Kawasan (MANTIK) Raub, Kampung Gali Tengah, di sini kelmarin dahulu.

- Advertisement -

MAT kali ini menyaksikan sesi pemilihan semua jawatan di mana para perwakilan telah mengekalkan Dr. Mohamad Nilam Abd Manaf selaku Yang Dipertua dan Tg Shah Amir Tg Perang kekal sebagai Timbalan Yang Dipertua.

Naib Yang Dipertua menyaksikan muka baharu, Amrun Ahmad sementara Ketua Pemuda dan Muslimat diterajui Ustaz Mohammed Shahrizan Md Esa dan Habidah Saleh pada MAT Dewan masing-masing.

“Saya ingin merakam ucapan penghargaan kepada para perwakilan yang memilih dan memberi kepercayaan kepada saya dan kepimpinan sesi 2021-2023 menggalas amanah ini.

“Ramai muka baru pada pemilihan kali ini. Tahniah dan syabas diucapkan kepada AJK (Ahli Jawatankuasa Kerja) sesi lepas yang telah memberi khidmat semampu mungkin. Moga Allah menerima saya.

“Saya dan AJK akan cuba untuk meneruskan misi dan visi PAS Kawasan mendekatkan masyarakat Islam melalui wadah PAS,” ujar Dr. Nilam penuh semangat.

Beliau turut memohon semua ahli dapat memberi sokongan dan bantuan kepada kepimpinan baharu menjalankan amanah besar ini dan mendoakan agar dikurniakan sifat istiqamah hingga diberi kejayaan oleh Allah dunia dan akhirat.

Sementara Ketua Pemuda PAS yang baru, Ustaz Shahrizan Mad Esa, pula dengan penuh semangat Pemuda dan keazaman terus bertekad untuk terus memperkasakan Penyatuan Ummah supaya tidak lagi boleh diperlekehkan oleh musuh politik yang sentiasa berantakan

Beliau turut menegaskan supaya PAS Raub konsisten bagi mengekalkan kuasa politik umat Islam sebagaimana telah dinyatakan Al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin, bahawa PAS tidak akan memilih Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN).

Menurut beliau lagi, Umno dan BERSATU juga sepatutnya mengambil pendekatan serupa apatah lagi untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15  yang semakin hampir. – HARAKAHDAILY 19/10/2021

- Advertisement -