PAS bersedia hadapi PRU15 melalui perdamaian

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: PAS bersedia untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menggunakan pendekatan muwajjah silmiah, iaitu melalui jalan perdamaian untuk menegakkan Islam.

- Advertisement -

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, berkata PAS perlu berdepan dengan musuh yang ramai dan ahlinya perlu menyumbang tenaga fikiran, tenaga anggota dan keluarga sebaik mungkin mengikut kepada kemampuan mereka.

“Cara damai hendaklah dimulakan, bukan cara perang. Perang adalah cara terakhir apabila musuh menyerang atau menakluk negeri kita.

“Sekarang ini kita sama-sama bergelumang dalam satu negara, dalam satu masyarakat. Maka, pendekatan kekuatan muwajjahah silmiah adalah sangat penting dan kita memlilih pendekatan secara damai,” katanya dalam ucapan sempenan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan, di Facebooknya, semalam.

Menurut Tuan Guru, konsep demokrasi memerlukan sokongan seramai mungkin, justeru itu langkah aktif perlu dilaksanakan untuk menarik sokongan masyarakat.

Katanya, peranan sayap PAS seperti, Dewan Ulama, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat, Dewan Himpunan dan Ameerah sangat penting.

Kesemua sayap itu kata Tuan Guru amat dekat dengan masyarakat, dan mereka mempunyai peranan untuk mengajak masyarakat kepada Islam.

“Pertama, kita mengajak mereka kepada islam. Keduanya, jika mereka tidak mahu memeluk Islam, ajak mereka menerima sistem pemerintahan Islam.

“Walaupun mereka tidak menerima Islam. Apa salahnya mereka duduk di bawah pemerintahan islam? Islam bukan hanya pada agama semata-mata, ia termasuk cara berpolitk.

“Sekiranya mereka boleh menerima ideologi sosialis dan kapitalis yang berasal daripada barat, bukan dari China mahupun India, mengapa mereka tidak boleh menerima Islam menjadi satu sistem pemerintahan yang boleh menunjukkan keadilan untuk semua?” katanya.

Oleh itu, kata Tuan Guru, politik Islam mesti diperkenalkan kepada orang bukan Islam dan itu adalah keputusan yang diambil oleh PAS untuk berdepan PRU15.

Selain itu katanya, PAS perlu menyediakan calon berwibawa, dan memenuhi sikap seorang pemimpin untuk bertanding pada PRU akan datang.

Katanya, adalah mustahil untuk mencari calon yang sempurna seperti Rasulullah SAW, dan amat jauh untuk menemui calon yang mempunyai sikap seperti para sahabat.

Oleh itu kata Tuan Guru, walaupun sukar untuk mencari calon yang mempunyai iman yang kuat, budiman, berilmu pengetahuan, berpengalaman, namun ahli PAS boleh memilih pimpinan mereka secara kolektif.

“Yang penting calon adalah seorang yang istiqamah dengan parti, berintegriti, berakhlak mulia, mempunyai akidah yang kuat, dan mampu bertahan dengan parti.

“Kita hendak pilih calon bukan sekadar menjadi rakan berbual di kedai kopi, calon mestilah yang mampu turun padang, mampu bergerak di Parlimen, Dewan Undangan Negeri, mampu memerintah negara dan negeri. Ini mesti kita atur dan susun,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/10/2021

- Advertisement -