Orang Islam elak jadi pelarian di negara sendiri

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU:
Umat Islam hendaklah mengambil iktibar daripada pepecahan yang berlaku di negara umat Islam termasuk Syria, Iraq, Lubnan dan Afghanistan sehingga ummah menjadi lemah.

Ketua Dewan Ulamak PAS Perlis, Ustaz Idris Yaakob berkata, umat yang berpecah akhirnya akan menjadi semakin lemah sehingga memberi peluang musuh semakin kuat.

“Lebih malang lagi ada orang Islam menjadi pelarian di negara sendiri. Jadi kita seharusnya mengambil iktibar daripada peristiwa yang berlaku tersebut,” katanya di sini.

- Advertisement -

Oleh itu kata beliau umat Islam di Malaysia hendaklah terus memelihara perpaduan yang dibina atas dasar akidah dan persaudaraan seperti yang dianjurkan syariat Islam.

“Sebagai contoh lihat masyarakat Islam di Madinah yang dibina Rasulullah s.a.w mempunyai masyarakat majmuk, terdiri pelbagai bangsa dan keturunan.

“Mereka boleh hidup dengan aman damai di bawah lindungan pemerintahan Islam yang adil dan penuh dengan rahmah dan kasih sayang,” katanya.

Menurutnya juga sempena sambutan Maulidul Rasul hari ini umat Islam hendaklah memperkukuhkan perpaduan ummah bagi menghadapi sebarang cabaran yang berlaku.

Kata beliau kemelut politik yang berlaku dalam kalangan orang Islam dan Melayu hendaklah dielakkan kerana ia memberi peluang kepada musuh untuk bangkit semula.

“Pemimpin politik sewajarnya berlapang dada dengan tidak mementingkan diri dan kelompok masing-masing sahaja.

“Perpaduan dan penyatuan ummah yang kita bina bukan sahaja untuk mendapatkan kuasa dan pangkat semata-mata tetapi ganjarannya di akhirat kelak,” katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa kesyukuran selepas rakyat dibenarkan rentas negeri membolehkan anak-anak yang berada di perantauan pulang ke kampung menziarahi sanak saudara.

Menurutnya peraduan dan keharmonian institusi keluarga akan membawa kepada keutuhan ummah dan negara. – HARAKAHDAILY 19/10/2021

- Advertisement -