Terengganu bantu anak yatim mangsa Covid-19

- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

KUALA TERENGGANU:
Kerajaan Terengganu sedia membantu semua mangsa Covid-19 dalam kalangan anak-anak yatim supaya mereka dan keluarga terus terbela.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga, Wanita dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, setakat ini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) belum mempunyai data khusus mengenai anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.

Oleh itu, katanya pewaris mangsa Covid-19 diminta menghubungi pihak JKM di setiap daerah bagi membolehkan bantuan yang diperlukan disalur.

- Advertisement -

“Apabila kita mendapat data dan mengesahkan kedua ibu bapa mereka meninggal, saya berharap JKM dapat memberi bantuan segera.

“Jika anak yatim terbabit masih bersekolah, kita masuk dalam bantuan sekolah hingga ke universiti.

“Bantuan itu mengikut kategori iaitu anak sekolah, OKU, ibu tunggal atau warga emas sekurang-kurangnya bantuan antara RM250 hingga RM500 sebulan,” ujarnya selepas melawat seorang pesakit di Kampung Losong Panglima Perang hari ini.

Katanya juga kerajaan negeri sehingga sekarang belum lagi menyekat sebarang bantuan kepada individu yang ‘antivaksin’.

Katanya semua permohonan akan dibawa ke mesyuarat dan tidak timbul menyekat bantuan kepada kumpulan terbabit.

“Kita tidak akan ‘anaktirikan’ dan tidak kira ideologi politiknya, kamu warna apa.. hijau, biru, merah kita terima,” jelasnya.

Bagaimanapun kata beliau, kerajaan negeri akan mengikut arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung isu pengambilan vaksin.

Menurutnya juga kerajaan negeri mengambil sikap menasihatkan golongan terbabit ambil vaksin terlebih dahulu bagi menjaga keselamatan diri dan keluarga.

“Saya menasihatkan mana-mana individu di Terengganu agar segera mendapatkan suntikan vaksin bagi mengelakkan sebarang kesulitan dalam semua urusan kelak,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 18/10/2021

- Advertisement -