Syarikat tempatan eksport kopi ke Timur Tengah

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Sebuah syarikat anak tempatan, Akiffcafe Coffee Industries Sdn Bhd berjaya menembusi pasaran Timur Tengah bagi memasarkan produk kopi pracampuran.

Sebagai permulaan sebanyak 1,300 kotak akan dihantar ke Kuwait dan 650 ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan dijangka dipertingkat kepada 5,200 sebulan bagi memenuhi permintaan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, kejayaan tersebut diperolehi menerusi penyertaan syarikat itu dalam Pameran Gulfood 2021 pada Februari lepas.

- Advertisement -

“Hari ini saya sangat berbangga kerana ada usahawan muda, mampu mengorak langkah dan berharap kejayaan ini menjadi motivasi kepada usahawan muda lain.

“Mudah-mudah dengan kejayaan tersebut kita dapat memperkenalkan produk halal buatan Malaysia di negara Timur Tengah yang lain, kerana orang Arab sangat mementingkan produk halal,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis flag off pengeksportan produk ke pasaran Timur Tengah di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kota Bharu hari ini.

Dr Nik Muhammad Zawawi juga berkata, kementerian melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) sentiasa berusaha membantu mengembangkan perniagaan usahawan tempatan.

Kata beliau, dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Fama membimbing empat syarikat usahawan tempatan untuk membantu mempromosikan pasaran eksport mereka.

“Insya-Allah kita di kementerian akan memberi kerjasama dengan sebaik mungkin untuk memberi dorongan kepada usahawan kita mencapai kejayaan.

“Kerana kita mahu negara kita menjadi sebuah negara pengeksport termasuk bekalan makanan dan kita sedaya upaya melangkah untuk menjadi negara pengeksport,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/10/2021

- Advertisement -