RMK-12: Pembangunan Terengganu perlu diberi perhatian

SAYA telah diberi peluang oleh Parlimen pada 13 Oktober 2021 di Dewan Negara untuk berbahas berkenaan RMK-12 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 26 September 2021. Saya mengambil kesempatan dalam perbahasan ini untuk menyentuh beberapa isu tempatan untuk diberi perhatian oleh Kerajaan Persekutuan bagi memastikan tiada kelompangan dalam rancangan pembangunan negara selama 5 tahun akan datang. 

Advertisement

Pertamanya, saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan yang sentiasa istiqamah menjaga kebajikan rakyat melalui pelbagai inisiatif dan projek dalam RMK-12. Namun, saya juga memaklumkan bahawa Negeri Terengganu masih mengharapkan Kerajaan Persekutuan memberi perhatian berkenaan keperluan infrastruktur jalan raya negeri dan Persekutuan yang masih memerlukan penambahbaikan secara umumnya untuk kesejahteraan sosio-ekonomi rakyat.

Selain itu juga, saya turut berharap Kerajaan Persekutuan memudahkan prosedur dan laluan kepada kemasukan pelabur-pelabur asing yang berhasrat untuk melabur di Negeri Terengganu dalam bidang industri yang berpotensi untuk dimajukan di negeri ini. Antara beberapa keperluan yang boleh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri di Negeri Terengganu adalah fasiliti dan prasarana kawasan perindustrian yang baik. Ini termasuk menaik taraf kemudahan lapangan terbang dan pelabuhan yang kompeten untuk merancakkan aktiviti perdagangan dan pelaburan.

Memandangkan majoriti penduduk Negeri Terengganu terdiri daripada kaum Bumiputera, agenda pembangunan yang berkaitan dengan kemajuan ekonomi Bumiputera perlu diberi perhatian dan keutamaan. Peranan Kementerian Pembangunan Luar Bandar sangat penting dalam membangunkan sosio ekonomi kaum Bumiputera di negeri ini. Saya mengharapkan komitmen daripada Kementerian ini dalam memainkan peranan untuk membentuk insan luar bandar yang berkualiti dan berpengetahuan.

Oleh itu, agensi-agensi bantuan seperti Tabung ekonomi Belia (TEB), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Peneraju Bumiputera (TERAJU) hendaklah memainkan peranan yang semaksima mungkin dalam membantu ekonomi rakyat Bumiputera khususnya di negeri Terengganu yang rata-ratanya masih di bawah paras kemiskinan.

Justeru, saya berharap Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan cadangan-cadangan yang diutarakan oleh saya secara serius dalam usaha memastikan menjaga kebajikan rakyat Terengganu dapat diteruskan. Saya juga berharap segala usaha yang dirancang dalam RMK-12 dapat dilaksanakan dengan secepat mungkin sesuai dengan situasi semasa negara kita menuju ke arah suasana endemik.

“Memperkukuh Perpaduan”

YB SENATOR DATO’ HUSAIN AWANG 
Ahli Dewan Negara– HARAKAHDAILY 18/10/2021