Reset politik

- Advertisement -

KEPUTUSAN melayakkan pengundi 18 tahun secara automatik menyertai PRU15 akan menyebabkan perubahan besar dalam semua kajian parti-parti politik sebelum ini. Tiada lagi parti yang boleh menjangka kekuatan mereka buat masa terdekat. Penglibatan lebih 5.8 juta pengundi muda menyebabkan semua kajian dan culaan perlu di‘reset’ semula.

Berdasarkan angka terkini sehingga Ogos yang dikeluarkan SPR, kita miliki sekitar 15 juta pengundi. Ini bererti akan berlaku penambahan 1/3 pengundi baru dalam PRU15. Kebanyakan mereka adalah anak muda yang miliki aspirasi baru. Perjuangan dan halatuju politik yang sukar dijangka. Medan politik yang tidak lagi tradisional.

Dengan perkembangan ini, apakah angka dakwaan politik mengenai bilangan keahlian mereka boleh diguna pakai untuk mendakwa mereka paling kuat? Apakah jumlah kerusi PRU14 boleh dijadikan ukuran menentukan kekuatan atau membuat pembahagian dalam gabungan politik masing-masing sama ada PH atau PN malah MN?

- Advertisement -

Saya melihat, PRU15 adalah langkah baru untuk meletakkan semua parti politik di garisan permulaan yang sama. Tiada lagi yang boleh miliki keistimewaan untuk berada di petak hadapan. Jika masih ada yang merasakan mereka parti dominan atau kuat berdasarkan angka ahli parti yang tak pernah diupdate atau bilangan kerusi, mereka sedang dibuai mimpi.

Generasi pengundi muda lebih 5 juta atau satu pertiga undi PRU14 adalah pengundi segar yang berada dalam dua kategori. Kategori yang celik politik dan jahil politik. Dari dua kategori itu, kebanyakan mereka adalah golongan yang muak dengan kerenah ahli politik usang yang masih wujud dalam negara. Ahli politik yang masih menganggap pengundi boleh digula gulakan dengan ‘gula kapas’.

PRU15 tentunya penanda awal masa depan politik negara. Mungkin agak keterlaluan membandingkan dengan Pilihan Raya Amerika kerana corak yang berbeza, namun perubahan itu pasti berlaku. Penolakan terhadap BN dalam PRU14 selepas lebih 60 tahun menjadi dinosaur politik adalah isyarat awal politik negara sudah berubah. Generasi yang diikat dengan ‘hutang budi’ dengan pemerintah telah mula pupus. Malah dalam PRU15 kesemua mereka sudah tenggelam dengan imbangan kemasukan lebih 5 juta pengundi baru.

Apakah pilihan pengundi penentu ini? Apakah aspirasi baru yang mereka mahu? Apakah bentuk pengaruh yang mudah menjerut kepercayaan mereka? Apakah masih relevan retorik politik seperti imej yang dimiliki Anwar? Apakah gaya rasis seperti DAP boleh diterima pengundi muda bukan-Melayu? Apakah politik agama dibawa PAS mampu menawan anak muda? Apakah politik menabur budi dan kenang jasa Umno masih relevan? Apakah parti baru boleh diterima?

Segalanya perlukan kajian. Yang pasti PRU15 adalah PRU baru untuk Malaysia. Semua parti perlu merasakan mereka akan bermula di garisan pertama. Masih rasa kuat? Biarkan mereka menjadi luncai dengan labunya, biarkan, biarkan.

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 18/10/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000122032873/posts/7023301357683862/

- Advertisement -