PRU15: Usul kekalkan PAS wakili GRS di Parlimen Putatan

- Advertisement -

Oleh NURSAM MOHAMMAD

PUTATAN:
Para perwakilan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Putatan kali ke-21 kelmarin sebulat suara menyokong usul supaya mengekalkan kerusi Parlimen Putatan yang ditandingi PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu pada PRU15 akan datang untuk mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Usul yang dibawa oleh Dewan Pemuda PAS kawasan menerusi wakilnya, Rijal Nasri itu diterima keseluruhan perwakilan dan dibahas dengan pindaan mewujudkan Jawatankuasa Perunding bersama parti-parti komponen dalam GRS.

- Advertisement -

”Perkara ini perlu menjadi titik perbincangan bersama parti-parti lain dengan mengambil semangat muafakat dan gabungan parti dalam kerajaan negeri,” ujarnya.

Menurut perwakilan PAS Cawangan Sembulan, Amir Fadhli Razali, menjadi keperluan meneruskan tradisi kerusi ditandingi PAS Kawasan Putatan bagi kerusi parlimen dengan melihat kepentingan masyarakat Bumiputera Islam yang majoriti dan atas semangat muafakat GRS.

Perkara itu turut disokong oleh perwakilan PAS Cawangan Petagas, Zulzaim Hilmee Abidin yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS kawasan Putatan sesi lepas yang menyatakan bahawa kerusi tradisi PAS itu sudah diketahui oleh rakan-rakan komponen parti lain.

Mesyuarat Agung Tahunan  tersebut dihadiri perwakilan Dewan Pemuda PAS Kawasan Putatan, Dewan Muslimat PAS Kawasan Putatan, serta 22 ahli PAS cawangan dan beberapa ahli cawangan penaja baharu.

Mesyuarat agung kali ke-21 itu juga mengekalkan Ustaz Muhammad Akmal Othman selaku Yang Dipertua PAS kawasan dan memilih Khairan Untoh dan Ustaz Mohd Ariff Yusof sebagai timbalan dan naib yang dipertua. – HARAKAHDAILY 18/10/2021

- Advertisement -