PAS Temerloh edar Harakah kepada orang awam

- Advertisement -

TEMERLOH: Lajnah Penerangan dan Media Baharu PAS Kawasan Temerloh telah menggiatkan usaha memberi informasi kepada penduduk setempat dengan mengadakan edaran Harakah di Pasar Temerloh, di sini baru-baru ini.

Inisiatif seperti ini menjadi sebahagian usaha dakwah PAS di mana ia juga menjadi kesempatan PAS Temerloh mendekati penduduk yang mempunyai pelbagai latarbelakang ideologi serta para pengundi setempat serta peniaga.

- Advertisement -

Pimpinan PAS Temerloh yang hadir adalah Yang Dipertua, Md Jusoh Darus bersama Timbalan Yang Dipertua, Hasanuddin Salim serta Ketua Penerangan, Ustaz Fairuz Hisham Nordin dan beberapa ahli jawatankuasa lajnah.

Selain bertemu dan beramah mesra dengan orang ramai yang merupakan warga penduduk setempat, mereka juga mendengar aduan dan reaksi semasa masyarakat kepada PAS dalam persada politik terkini.

Daripada edaran yang dibuat, ternyata ramai yang teruja menerima naskhah akhbar rasmi PAS ini, selain turut mengadu ia sukar ditemui di pasaran, manakala kebanyakan warga emas masih mahu edisi cetak berbanding elektronik.

Seorang pengunjung pasar, Mazlan Abdullah berkata, usaha penyampaian maklumat seperti ini mesti sentiasa diadakan terutama berkaitan prestasi kerajaan negeri dan kementerian diterajui PAS selain isu semasa.

Md Jusoh dalam reaksinya berkata, Harakah sebagai media rasmi parti bukan sahaja perlu dimiliki oleh setiap ahli PAS, bahkan perlu dibaca oleh semua lapisan masyarakat sebagai bahan dakwah dan informasi.

Oleh itu, setiap seorang ahli mesti mengambil peluang dakwah ini dengan menaja sekurang-kurangnya senaskah bagi setiap edisi untuk sebaran awam terutama pengundi sasaran.

Manakala menurut Hasanuddin, semua ahli perlu menyokong kempen tajaan Harakah ini sebagai usaha menyebarkan mesej perjuangan PAS kerana bukan semua ahli mampu berceramah atau berdakwah.

“Namun dengan hanya membayar RM2 setiap edisi, kita berpeluang memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.

Ustaz Fairuz pula berkata, kempen tajaan Harakah ini akan diteruskan sehingga PRU akan datang sebagai salah satu medium penerangan yang digiatkan oleh pihak beliau khususnya. 

“Aktiviti sebaran pula akan diadakan secara berkala mengikut Unit Daerah Mengundi di seluruh Parlimen Temerloh. Sokongan dan kerjasama semua ahli sangat diperlukan,” ujarnya meminta sebarang maklumat lanjut boleh hubungi 011-5851 5462. – HARAKAHDAILY 18/10/2021

- Advertisement -