PAS Rasah gandingan muka lama, baharu

- Advertisement -

Oleh JANIRA AIN ABU BAKAR

- Advertisement -

RASAH: Ustaz Muhammad Khairil Anuar Wafa menang tanpa bertanding dan kekal sebagai Yang Dipertua PAS Rasah dalam pemilihan pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Rasah Kali Ke-22.

Pemilihan kali ini turut menampilkan wajah baharu Timbalan Yang Dipertua PAS Rasah, Muhamad Mumtaz Harun dan Naib Yang Dipertua, Nor Hirman Mohd Yusuf, selain beberapa AJK PAS Kawasan yang dilantik.

Mesyuarat berkenaan berlangsung secara hibrid dengan kehadiran kira-kira seramai 70 orang perwakilan termasuk daripada Dewan Pemuda PAS Rasah, Dewan Muslimat PAS Rasah, serta 10 PAS cawangan di Maahad Tahfiz Addirasah, Rasah Jaya, di sini, semalam.

Dalam ucapan penangguhan, Ustaz Khairil Anuar menekankan kepentingan menguasai media sosial bagi menjalankan kempen.

Terutamanya kata Ustaz Khairil Anuar, tumpuan perlu diberikan dalam kalangan pengundi muda, iaitu pengundi baharu berusia 18 hingga 21 tahun.

“Mereka adalah generasi alfa, sekitar 80 peratus kehidupan berkisar di alam maya.

“Justeru, kekuatan jentera media sosial adalah sangat perlu bagi memastikan golongan ini didekati,” katanya.

Menurut Ustaz Khairil Anuar lagi, pemantapan akidah serta amalan sedia ada tetap perlu dilaksanakan secara istiqamah.

Selain itu katanya, pergantungan kepada Allah sentiasa menjadi sumber kekuatan PAS sebagai jentera dalam perjuangan Islam. – HARAKAHDAILY 18/10/2021

- Advertisement -