Malaysia sasar pelaburan RM10 bilion di Expo Dubai

- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

KUALA TERENGGANU:
Malaysia dijangka dapat mencapai sasaran penjanaan pelaburan melalui penyertaan di Expo Dubai 2021 yang diadakan selama 26 minggu.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, sasaran awal Malaysia dalam penyertaan Expo Dubai bagi memperolehi pulangan dalam bentuk janji perdagangan dan pelaburan berjumlah RM10 bilion.

Namun, katanya sehingga dua minggu lepas negara menjana sejumlah RM7.2 bilion dan masih berbaki 20 minggu lagi ekspo tersebut berlangsung.

- Advertisement -

“Sasaran kita (Malaysia) untuk memperolehi pulangan dalam bentuk janji niaga, perundingan dan sebagainya sekitar RM10 bilion.

“Setakat ini, dua minggu lepas kita telah mencapai RM7.2 bilion. Jadi kita yakin bukan sahaja mencapai sasaran tetapi akan mencapai angka yang sangat baik dari segi nilai MoU dan sebagainya.

“Kebanyakan MoU berkaitan dengan teknologi, kelestarian dan sebagainya. Ini sesuatu yang sangat baik,” ujarnya selepas majlis penyerahan sumbangan bahan kimia sanitasi kepada masjid-masjid di Parlimen Kuala Terengganu di Dewan Terbuka Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) semalam.

Ahmad Amzad juga berkata, MOSTI merupakan kementerian yang dipertanggungjawab untuk menyelaraskan penyertaan Malaysia di Expo Dubai.

Katanya, ekspo seumpama itu diadakan setiap dua tahun sekali dan Dubai merupakan negara Islam pertama menjadi penganjur.

Difahamkan jumlah keseluruhan perdagangan dan pelaburan berpotensi melibatkan 14 MoU, tiga Surat Niat (LoI) dan dua Memorandum Kerjasama (MoC) antara 14 syarikat Malaysia dan syarikat asing.

Syarikat-syarikat asing terbabit berpusat di China, Mesir, India, Iran, Oman, Qatar, United Kingdom, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Amerika Syarikat.

Malaysia Pavilion di Expo 2020 Dubai yang dirancang sebagai Rainforest Canopy dan bertema Energizing Sustainability mencatatkan kira-kira 50,000 pengunjung dalam tempoh 1 hingga 14 Oktober lepas. – HARAKAHDAILY 18/10/2021

- Advertisement -