Langkah tangani golongan antivaksin perlu diperluas

- Advertisement -

Oleh KAIROL ZULHAIDI

KUALA LUMPUR: Langkah menangani golongan antivaksin perlu diperluaskan, agar ia bukan sahaja berada di bawah tanggungjawab Menteri Kesihatan atau pakar bidang kesihatan tetapi perlu menjadi tanggungjawab semua pihak.

Pegawai Senior Program Kemanusiaan di International Planned Parenthood Federation (IPPF), Dr Nadirah Babji berkata, semua pihak perlu bekerjasama dalam menangani masalah golongan-golongan antivaksin ini melalui  langkah-langkah dan kempen-kempen berkesan yang turut melibatkan pakar dalam pelbagai bidang termasuk psikologi, sosiologi dan yang berkaitan.

- Advertisement -

Menurutnya, lebih banyak perbincangan perlu diadakan bersama-sama dengan golongan antivaksin ini bagi mengetahui apakah masalah serta memahami keadaan merekasehingga menyebabkan mereka menjadi antivaksin.

“Contohnya, kita cuba faham apa yang golongan antivaksin ini sangat takut dan risaukan sebenarnya sekiranya mengambil vaksin. Ketakutan yang dialami golongan antivaksin ini makin bertambah apabila dihasut lagi pihak-pihak tertentu yang mengambil peluang menyampaikan maklumat yang salah kepada mereka.

“Kita perlu duduk bersama-sama golongan ini dan cuba menolong mereka dengan menyampaikan fakta yang benar  tentang vaksin. Kita bantu mereka agar salah tanggapan mereka itu dapat diperbetulkan semula dan dan kita juga boleh memberikan sokongan moral kepada mereka agar mengambil vaksin,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily, di sini, hari ini.

Selain itu juga katanya, masalah tersebut perlu dikaji dari pelbagai sudut, bukan sekadar dari segi kesihatan sahaja. 

“Maka, kempen dalam menangani golongan antivaksin  akan menjadi lebih menyeluruh kepada semua faktor dan sudut bagi mengkaji kelakuan dan sikap golongan antivaksin ini. 

“Kempen yang dijalankan oleh kerajaan sekarang adalah sangat bagus melalui media sosial, televisyen dan radio kerana ia  dapat menyalurkan informasi dan kesedaran kepada golongan antivaksin,” ujarnya.

Tambah Nadirah, ketelusan data dan fakta perlu disampaikan kepada orang ramai. Contohnya jumlah orang yang sudah meninggal dunia akibat daripada pengambilan vaksin. Jadi, orang ramai boleh melihat sendiri dan ini dapat menambahkan keyakinan mereka terhadap vaksin.

Katanya lagi, di Malaysia juga terdapat  undang-undang yang mana apabila seseorang memberikan maklumat yang salah, kemungkinan golongan tersebut boleh dikenakan tindakan.

“Justeru, ini merupakan langkah yang bagus bagi mengatasi golongan antivaksin. Undang-undang yang ketat bagus untuk menghalang penyebaran maklumat yang tidak tepat dan palsu berkaitan dengan vaksin,” ujar Nadirah lagi.

Menurutnya, terdapat beberapa kenyataan dan maklumat yang tidak tepat dikeluarkan oleh golongan antivaksin yang boleh mengelirukan orang ramai. 

“Contohnya, golongan antivaksin mendakwa ada yang meninggal dunia selepas mengambil vaksin. Tetapi perkara yang sebenarnya ialah orang yang dikatakan meninggal disebabkan vaksin itu sebenarnya adalah  disebabkan kemalangan jalan raya. Ini (dakwaan golongan antivaksin) akan menimbulkan ketakutan kepada orang ramai disebabkan maklumat yang tidak tepat.

“Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin pun telah melahirkan rasa kekecewaan tentang maklumat yang tidak tepat berkaitan dengan kematian seorang jururawat di Hospital Pulau Pinang sebelum ini yang didakwa meninggal dunia disebabkan suntikan vaksin, tetapi ia sebenarnya disebabkan masalah komplikasi jantung. Justeru, maklumat yang tidak tepat akan menimbulkan pelbagai spekulasi yang mengelirukan,” tegas Nadirah. 

Selain itu, antara cara terbaik dalam menghadapi golongn  antivaksin ini ialah dengan memberikan penerangan dan maklumat yang jelas tentang salah tanggapan mereka mengenai  vaksin.

“Kita perangi penyebaran informasi  yang salah tentang vaksin ini dari semua sudut agar kesalahfahaman mereka tentang vaksin ini diperbetulkan. Usaha yang lebih ligat perlu dipergiatkan untuk membendung golongan ini kerana kesalahfahaman mereka terhadap vaksin yang disebabkan informasi dan maklumat yang salah,” ujarnya.

Sehubungan itu, mengambil situasi ketika pandemik Covid-19, katanya, kebanyakan pakar lebih menumpukan kepada perkara-perkara teknikal seperti penyakit dan cara merawat jangkitan virus tersebut.

“Namun, apabila melihat dari sudut mengawal pandemik dan bencana, terdapat banyak lagi sudut sosiologi yang kurang diberi perhatian seperti teknik-teknik dan langkah untuk mengatasi masalah golongan yang terlalu takut kepada pengambilan vaksin. Kita akan mudah terpengaruh apabila kita berada di dalam situasi terlalu takut,” jelasnya.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan komited untuk terus menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menerima vaksin malah akan ‘menyusahkan’ kehidupan harian golongan antivaksin jika mereka terus menolak penerimaan vaksin.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, walaupun vaksin tidak diwajibkan namun kerajaan tidak akan memberi muka kepada golongan antivaksin kerana mereka sendiri memilih untuk menolak vaksi. – HARAKAHDAILY 18/10/2021

- Advertisement -