Indonesia julang Piala Thomas selepas hampir dua dekad

- Advertisement -

AARHUS (Denmark): Indonesia mengakhiri penantian selama hampir dua dekad untuk merangkul gelaran berprestij Piala Thomas 2020 apabila membenam juara bertahan China 3-0 pada perlawanan akhir di Arena Ceres di sini, malam tadi.

- Advertisement -

Kejayaan tersebut menyaksikan Indonesia muncul pasukan paling berjaya dalam sejarah kejohanan itu dengan merangkul gelaran tersebut sebanyak 14 kali, dengan kali terakhir pada edisi 2002 di Guangzhou, China selepas menewaskan Malaysia 3-2 pada final.

China pula memenangi gelaran itu sebanyak 10 kali.

Pemain perseorangan nombor lima dunia, Anthony Sinisuka Ginting mengutip mata pertama Indonesia selepas ketinggalan set pertama sebelum menyingkirkan pemain nombor 27 dunia, Lu Guang Zu 18-21, 21-14, 21-16 dalam pertarungan selama 76 minit.

“Pada set pertama tadi, saya sedikit gementar dan Guang Zu lebih banyak memberi tekanan dan lebih agresif. Tetapi saya berjaya keluar daripada tekanan pada set kedua dan ketiga, lebih tenang dan berjaya memutarkan keadaan.

“Saya pernah bertemu dengannya sebanyak dua kali sebelum ini tetapi ini merupakan pertemuan paling sukar. Sebenarnya saya bersedia untuk berjumpa dengan Shi Yu Qi dan Guang Zu kerana tidak pasti Yu Qi akan bermain hari ini selepas kecederaan semalam.

“Saya bersyukur kepada Tuhan kerana mampu mengatasi tekanan dan bermain dengan baik,” kata Ginting selepas perlawanan itu.

Dalam percaturan barisan pemain, Indonesia menurunkan beregu ketiga negara itu Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto biarpun memiliki beregu nombor satu dunia Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dan beregu nombor dua dunia Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan.

Bagaimanapun, beregu nombor tujuh dunia itu mampu melakukan kejutan apabila hanya mengambil masa 42 minit untuk menyumbang mata kedua dengan menewaskan gandingan China, He Ji Ting-Zhou Hao Dong dalam straight set 21-12, 21-19.

Indonesia mengesahkan kejuaraan apabila pemain nombor tujuh dunia, Jonatan Christie berentap selama 82 minit untuk membutirkan mata kemenangan 3-0 dengan mengalahkan pemain nombor 65 dunia, Le Shi Feng, 21-14, 18-21, 21-14.

Jonatan, yang dianggap wira pasukan hari ini, memuji rakan sepasukan atas kejayaan itu selain mengucap terima kasih rakyat Indonesia atas sokongan padu mereka.

“Pastinya sangat-sangat luar biasa kerana kali terakhir kita menjulang piala ini pada 2002, dan itu sangat-sangat lama, masa itu pemain perseorangan kita Taufik Hidayat masih bermain. Saya berasa inilah waktunya kita membawa kembali Piala Thomas ke tanah air,” katanya.

Walaupun tidak diturunkan pada pusingan akhir kali tetapi kemenangan tersebut merupakan kenangan paling indah bagi ketua pasukan, Hendra, dalam melengkapkan kutipan pingat dalam kariernya selepas gagal dalam tujuh percubaan Piala Thomas sebelum ini.

Pemain beregu berusia 37 tahun itu pernah merangkul kesemua gelaran utama dunia termasuk pingat emas Sukan Olimpik Bejing pada 2008, juara dunia sebanyak empat kali (2007, 2013, 2015 dan 2019), dua pingat emas Sukan Asia (2010 dan 2014) dan dua kali juara All England pada 2014 dan 2019.

Indonesia mara ke final selepas menewaskan Malaysia 3-0 di peringkat suku akhir dan Demark 3-1 di separuh akhir manakala China menundukkan Thailand 3-0 di suku akhir dan menumpaskan naib Jepun 3-1 di peringkat separuh akhir. – BERNAMA

- Advertisement -