Ekspo Dubai: RM5.3b petunjuk perniagaan dianggar menerusi penyertaan KASA

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menjadi hos di Pavilion Malaysia Expo 2020 Dubai dengan tema Green Growth; Ready for Global Opportunities bermula pada 18 Oktober hingga 6 November nanti.

Menterinya, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebanyak tiga memorandum persefahaman (MoU) dan tiga surat niat (LOI) dengan jumlah potensi perniagaan berjumlah RM5.3 bilion dijangka akan dimeterai antara syarikat Malaysia dan syarikat antarabangsa.

Menurutnya, minggu ketiga iaitu mulai 18 hingga 22 Oktober ini, KASA akan menganjurkan program yang bertemakan “Inovasi Teknologi Hijau”.

- Advertisement -

Tambahnya, program-program yang disusun akan mempamerkan Malaysia sebagai negara terkemuka dalam inovasi teknologi hijau dan tindakan iklim, mempromosi perniagaan negara di dalam teknologi hijau di pasaran global dan menarik pelaburan strategik teknologi hijau kepada semua sektor dan industri negara.

Katanya lagi, minggu keempat pada 23 hingga 30 Oktober bertemakan Climate Resilience and Sustainable Infrastructure, KASA mengetengahkan agenda dan strategi negara menangani perubahan iklim serta membangun model ekonomi hijau. Forum Climate Change Conversations akan mengupas cabaran pembangunan di bandar yang merupakan faktor penyumbang utama pelepasan gas rumah kaca (GHG) diadakan pada 25 Oktober 2021.

Beliau berkata, minggu kelima pula akan fokus kepada tema “Bandar Rendah Karbon” mulai 31 Oktober hingga 6 November 2021.

Jelasnya, sesi Climate Change Coversation on Sustainable Cities pada 1 November 2021 akan disertai Datuk Bandar Kuala Lumpur sebagai wakil Malaysia bersama wakil daripada panelis antarabangsa.

“Forum ini akan membincangkan mengenai perkongsian mengenai program-program yang sedang dilaksanakan dan sasaran oleh negara masing-masing ke arah bandar mampan,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tuan Ibrahim menambah, penyertaan KASA di Ekspo 2020 Dubai turut melibatkan kerjasama bersama PETRONAS, World Islamic Economic Forum Foundation dan rakan-rakan strategik seperti Next Green Global, Ficus Venture, Freeed Holdings, Balai Seni Negara, UN Global Compact Malaysia, Sunway Planetary Health Centre dan syarikat-syarikat swasta Malaysia lain yang mempunyai pengalaman di peringkat antarabangsa.

Katanya, penglibatan Malaysia di Ekspo 2020 Dubai diterajui oleh Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan dilaksanakan oleh agensi di bawah KASA iaitu Malaysian Green Technology & Climate Change Corporation (MGTC). – HARAKAHDAILY 18/10/2021

- Advertisement -