UAE bakal terokai Marikh, mendarat di asteroid

- Advertisement -

Oleh YUSMAN AWANG

ABU DHABI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah melancarkan misi angkasa baharu, kali ini merancang untuk menjadi negara Arab pertama yang berjaya mendarat di asteroid, selain menjelajah dan menerokai planet Marikh yang bakal menyaksikan perjalanan selama lima tahun dengan kapal angkasa yang menempuh jarak hampir 54.6 juta kilometer (km) dari bumi.

Naib Presiden UAE dan Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum melalui Twitternya baru-baru ini  berkata, projek mega tersebut disasarkan akan dilancarkan pada tahun 2028, dengan misi tersebut yang akan menjelajah Marikh, serta tujuh asteroid atau dikenali sebagai ‘tali pinggang asteroid’ yang terletak di antara Marikh dan planet Musytari,  dengan pendaratan pertama di asteroid berkenaan mengikut perancangan adalah pada 2033.

- Advertisement -

Pengumuman itu dibuat hanya satu tahun selepas projek Misi Mars Mars (EMM) berjaya dilancarkan, yang merupakan kemuncak enam tahun hasil usaha keras yang menyaksikan kejayaan kapal angkasa, Hope Probe tiba di orbit Marikh pada Februari 2021, lapor Associated Press.

Namun menurut Ketua Agensi Angkasa dan Menteri Sains Lanjutan Negara UAE, Sarah Yousif al-Amiri, misi seterusnya ini jauh lebih rumit dan mencabar.

“Ketika kami memulakan Misi Mars Mars (EMM), kami menjalankan kerja-kerja penyelidikan saintifik selama enam tahun yang berada dalam urutan lima kali lebih kompleks berbanding projek satelit pengamatan bumi yang kami kembangkan sebelum ini. 

Sarah al-Amiri merupakan tulang belakang utama projek penerokaan angkasa lepas UAE.

“Sementara, misi menerokai Marikh dan pendaratan di asteroid yang terletak di antara Marikh dan Musytari pula berada dalam urutan lima kali lebih kompleks berbanding EMM,” katanya dalam satu kenyataan kepada Khaleej Times

Sehubungan itu, UAE juga merancang untuk menghantar kapal angkasa tanpa pemandu ke bulan pada 2024, selain bercita-cita untuk membangunkan koloni penempatan manusia di Marikh pada 2117.

“Agensi Angkasa UAE  berusaha untuk memperkasakan sektor swasta di negara ini dengan mengembangkan kemampuan dan kemampuan, dan misi ini akan menjadi pendorong pertumbuhan industri angkasa negara ini,” ujar Sarah al-Amiri. – HARAKAHDAILY 17/10/2021

- Advertisement -