Kelantan negeri pertama dibina Taman Perindustrian IBS

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan menjadi negeri pertama di negara ini akan dibina Taman Perindustrian Sistem Binaan Berindustri (IBS) di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bersama kerajaan negeri dengan peruntukan lebih RM70 juta.

Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, projek yang akan dibangunkan di bawah Dasar Pembinaan Negara 2030 dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) yang dijangka siap dalam masa 24 bulan.

Beliau berkata, pembinaan itu akan dibangunkan di tanah berkeluasan 200 ekar yang disumbangkan oleh kerajaan negeri selain ia merupakan salah satu inisiatif di bawah Program Kecemerlangan IBS di Kelantan.

- Advertisement -

Selain itu katanya, ia sekali gus memperkukuhkan jaringan ekosistem IBS di Malaysia seterusnya dapat meningkatkan bilangan penggiat IBS terutamanya dalam kalangan Bumiputera dan usahawan kecil dan sederhana (SME).

Katanya, program kecemerlangan IBS itu juga bakal memberi peluang pekerjaan kepada lebih 3,500 tenaga kerja.

Malah katanya, dengan penggunaan IBS secara menyeluruh ia dapat membantu mengurus kos pembinaan perumahan.

Tambahnya, insentif IBS juga akan disemak semula untuk menggalakkan pemaju menggunakan teknologi IBS bagi meningkatkan kualiti, mengawal kos dan meningkatkan kecekapan.

“Taman Perindustrian IBS ini akan mengumpulkan semua pengusaha produk-produk pembinaan terutama yang berkaitan IBS dan teknologi muncul (emerging technologies), menjadikannya Pusat Rujukan Setempat (One Stop Center) bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan industri pembinaan di Pantai Timur.

“Selain itu konsep taman perindustrian IBS ini juga turut dibangunkan di beberapa negeri lain yang akan membantu keseluruhan ekosistem sektor pembinaan di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas selesai Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kerajaan Negeri Kelantan dan CIDB Malaysia, di Dewan Bungai Terantai Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

MoU itu telah ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Kelantan, Dato’ Kaya Setia Dato’ Nazran Muhammad dan Ketua Eksekutif CIDB, Dato’ Ir Ahmad ‘Asri Abdul Hamid.

Majlis itu disaksikan oleh Fadillah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Sri Mustapa Mohamed dan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Ahmad Yakob. – HARAKAHDAILY 17/101/2021

- Advertisement -