TH peruntuk RM900,000 untuk bantu asnaf pada Okt

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Tabung Haji (TH) memperuntukkan sebanyak RM900,000 pada Oktober bagi melaksanakan program sumbangan bantuan makanan kepada keluarga asnaf.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, aktiviti itu dilaksana bagi menunaikan zakat TH.

Beliau berkata, seramai 9,000 asnaf di tujuh buah negeri menerima bantuan makanan asas seperti beras, minyak, tepung, gula dan sebagainya yang bernilai RM100.

- Advertisement -

“Kita harap dari program ini dapat menyantuni kelompok masyarakat terkesan, kita fokuskan kepada kawasan yang mempunyai golongan asnaf seperti petani, nelayan.

“Ini sebahagian usaha TH untuk turun ke bawah kerana pendeposit TH ini pun ada di kalangan asnaf, walaupun ada yang kaya tetapi majoritinya asnaf,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Serahan Bantuan Makanan Kering Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah TH Wilayah Timur, Dato’ Mohyen Mosman; Pengarah TH Kelantan, Ashrof Shamsuddin dan Pengerusi Koperasi Polis, Dato’ Hasanuddin Hassan.

Kelantan mempunyai 3,000 penerima serta masing-masing 1,000 penerima bagi negeri Terengganu, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka termasuk Sabah.

Marzuk berkata lagi, jumlah itu sudah dihantar ke tiga Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Pengkalan Chepa dan Dewan Undangan Negeri (Dun), Panchor dan Kijang.

Jelas beliau, bagi negeri lain, kerja penyediaan, pembungkusan dan penghantar bantuan itu ke rumah penerima dibuat oleh rakan strategik TH, Koperasi Polis.

Menurutnya, program tersebut merupakan salah satu program zakat TH yang bertujuan menyumbang makanan bagi meringankan beban akibat kesan pandemik Covid-19.

“Kebiasaannya TH di peringkat negeri itu membayar kepada majlis agama Islam di negeri masing-masing, majlis memberi pulangan wakalah untuk diagihkan sendiri.

“Jadi itulah yang kita dapat laksanakan juga bantuan kepada asnaf serta turun sendiri untuk berjumpa dan bertemu dengan asnaf untuk diagihkan bantuan,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/10/2021

- Advertisement -