Pengerusi TH letak jawatan tiada kaitan tindakan politik

- Advertisement -

KOTA BHARU: Peletakan jawatan Mohd Nor Yusof sebagai Pengerusi Tabung Haji (TH) yang berkuat kuasa semalam tidak mempunyai kaitan dengan tindakan politik.

- Advertisement -

Sebaliknya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, tindakan tersebut sebagai prosedur biasa.

“Tiada, peralihan tugas ini biasa sahaja, kerana apa nama ni, setiap menteri baru yang ada itu, dia mesti ada perancangan sendiri, jadi satu perkara biasalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Serahan Bantuan Makanan Kering Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah TH Wilayah Timur, Dato’ Mohyen Mosman; Pengarah TH Kelantan, Ashrof Shamsuddin dan Pengerusi Koperasi Polis, Dato’ Hasanuddin Hassan.

Media sebelum ini melaporkan, Mohd Nor bertindak melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi TH yang berkuat kuasa semalam.

Dalam kenyataan, TH berkata sepanjang menjawat jawatan beliau berjaya memacu penyusunan semula, perkukuhkan tadbir urus serta kedudukan kewangan TH.

TH merupakan sebuah organisasi Islam yang bertanggungjawab menguruskan simpanan umat Islam untuk melaksanakan Rukun Islam kelima.

Kenyataan itu menyebut, jumlah deposit pada 30 Jun lalu sebanyak RM81.14 bilion, tahap tertinggi sejak anak syarikat kerajaan (GLC) itu ditubuhkan 58 tahun lalu. – HARAKAHDAILY 16/10/2021

- Advertisement -