PAS gesa KDN tegas tangani isu arak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bertindak tegas dalam mengawal industri arak.

- Advertisement -

Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad, berkata PBT mempunyai tanggungjwab dalam meletakkan syarat yang lebih ketat untuk mengawal pejualan minuman keras itu.

Katanya, PAS konsisten dengan pendirian menolak semua perkara yang bertentangan dengan syariat termasuk minuman keras yang jelas membawa mudarat kepada sistem sosial, kekeluargaan dan keselamatan masyarakat keseluruhannya.

“Isu yang tular kini mengenai arak berjenama Timah hakikatnya telah wujud di negara ini sejak daripada tahun 2013 lagi.

“Namun, perlu diingat bahawa minuman keras walau apa jenama sekali pun adalah tetap dilarang oleh Islam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Justeru itu kata Kamaruzaman, penjualan minuman keras itu perlu dikawal seketat mungkin bagi mengelakkan daripada berlaku lebih banyak kerosakan.

Beliau menyarankan kerajaan mengambil negeri Kelantan sebagai model terbaik dalam mengawal industri arak dari sudut jualan dan prosedur operasi standard (SOP) kepada individu yang meminumnya.

“PAS menyeru kepada semua pihak untuk berganding bahu dalam usaha membangunkan sebuah negara baharu yang lebih baik dan bebas daripada kemudaratan kesan daripada minuman arak yang berleluasa,” katanya.

Baru-baru ini, tular di laman media sosial berhubung isu arak berjenama Timah yang dikatakan produk keluaran tempatan.

Rentetan itu, metizen mempersoalkan pengeluaran wiski berkenaan memandangkan PAS kini menjadi sebahagian daripada parti yang memerintah.

Bagaimanapun semalam, syarikat pengeluar arak tersebut menjelaskan jemana Timah itu merujuk kepada bijih timah yang banyak di negara ini suatu ketika dulu. – HARAKAHDAILY 16/10/2021

- Advertisement -