Jenayah Perancis ke atas Algeria tidak akan dilupakan

- Advertisement -

ALGERIA dan Perancis tidak pernah lekang daripada konflik mahupun kontroversi yang kebanyakkannya berkisar tentang kisah lampau kedua-dua negara terutamanya semasa penjajahan Perancis ke atas Algeria di masa lalu.

Namun konflik terbaharu di antara kedua-dua negara mengejutkan banyak pihak di mana Algeria dengan serta-merta memanggil pulang dutanya dari Paris. Tidak sekadar itu, kemudiannya Algeria langsung tidak membenarkan Perancis menggunakan ruang udaranya di mana ia dilihat sebagai tindakan yang agak keras dari Algeria.

Konfrantasi tersebut merisaukan banyak pihak terutamanya Kesatuan Eropah dan negara-negara Afrika Utara. Ia adalah gara-gara dua insiden, insiden pertama membabitkan pengurangan kelulusan visa secara drastik ke atas warga Algeria yang akan diluluskan Kerajaan Perancis.

- Advertisement -

Insiden tersebut telah mencetuskan ketegangan dalam hubungan kedua-dua buah negara di mana Kerajaan Perancis telah menyatakan bahawa keputusan itu dibuat setelah mengambilkira tindakan Algeria termasuk Maghribi dan Tunisia yang tidak mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menerima kembali pendatang tanpa izin dari negara terbabit yang ditahan di Perancis.

Namun ketegangan tersebut menjadi semakin memuncak apabila awal bulan ini dalam satu laporan akhbar Perancis Le Monde, Presiden Perancis Emmanuel Macron telah menyatakan bahawa sejarah tentang Algeria hendaklah ditulis semula, ia tidak berdasarkan fakta tetapi berdasarkan kebencian terhadap Perancis. Di manakah Algeria sebagai sebuah negara sebelum dijajah Perancis ? Beliau menegaskan lagi, sebelum Perancis, Algeria juga sebenarnya telah dijajah.

Beliau turut menambah, saya sangat teruja melihat kemampuan Turki untuk membuat semua orang lupa tentang peranannya di Algeria dan dominasi yang telah dilakukannya disamping menetapkan hanya Perancis sahaja yang menjajah Algeria. Ia sangat hebat dan rakyat Algeria mempercayainya.

Tidak sekadar itu sahaja, Emmanuel Macron menambah, selepas Algeria mendapat kemerdekaan daripada Perancis pada tahun 1962, Algeria terbina di atas peristiwa lampau yang diubah-ubah yang dilakukan oleh golongan elit politik ala tentera yang mempersembahkan kepada rakyat Algeria bahawa semua masalah berpunca daripada Perancis.

Emmanuel Macron juga turut menyatakan bahawa beliau ingin menerbitkan naskah dalam bahasa Arab dan Berber untuk menangkis informasi salah dan propaganda di negara-negara Afrika Utara yang dijalankan oleh Turki dan kemudiannya mengubah kembali sejarah asal.

Presiden Algeria kemudiannya mengeluarkan satu kenyataan yang mengecam kenyataan Emmanuel Macron sambil menyifatkan kenyataan Emmanuel Macron sebagai penghinaan yang tidak boleh diterima terhadap lebih 5 juta orang rakyat Algeria yang syahid dan mengorbankan diri mereka untuk menentang penjajahan Perancis dari tahun 1830-1962.

Turki turut menyelar kenyataan Emmanuel Macron yang menggambarkan 300 tahun pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah sebagai penjajahan dan menganggap ia adalah kempen murahan yang tidak akan berjaya untuk Emmanuel Macron ketika pilihanraya Presiden Perancis semakin hampir tiba.

Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu turut berkata adalah salah bagi Emmanuel Macron untuk mengheret sekali Turki yang langsung tiada sejarah hitam berkaitan penjajahan untuk terbabit dalam pertikaian ini. Jika sesiapa sekalipun ingin berkata sesuatu tentang Turki, mereka sanggup berani berdepan, bukan bercakap di belakang.

Rata – rata rakyat Algeria turut mengecam kenyataan Emmanuel Macron malah Ketua Persatuan Ulama Algeria Abdul Razzaq Qassoum menyatakan bahawa Khilafah Uthmaniyyah bukan penjajah kerana mereka datang ke Algeria di atas jemputan rakyat Algeria untuk membantu menentang tentera salib Sepanyol yang mengganas setelah kejayaan mereka menjatuhkan kerajaan Islam di Sepanyol.

Abdul Razzaq Qassoum turut menambah, Khilafah Uthmaniyyah tidak memusnahkan dan merampas harta serta tanah hak milik penduduk Algeria sebagaimana penjajah Perancis malah Khilafah Uthmaniyyah sangat membantu rakyat Algeria.

Khilafah Uthmaniyyah juga tidak memaksa bahasa Turki digunakan oleh rakyat Algeria serta tidak memaksa untuk menuruti kepercayaan mereka namun penjajah Perancis membawa kesengsaraan dan tragedi kepada Algeria dan rakyatnya.

Begitulah kecaman yang diterima oleh Emmanuel Macron akibat ‘keceluparannya’ menyatakan tentang Algeria dan sejarahnya termasuk Turki dan Khilafah Uthmaniyyah. Namun mungkin ramai yang tidak mengetahui tentang sejarah hitam Algeria ketika dijajah Perancis dan bagaimana kepayahan yang ditanggung rakyat Algeria ketika bangkit menentang Perancis.

Untuk memahami perit getir yang dilalui oleh rakyat Algeria dan sejarahnya, elok kita imbau kembali sejarah kebangkitan rakyat Algeria mementang penjajahan Perancis hingga tercapainya kemerdekaan pada tahun 1962.

Algeria dijajah oleh Perancis sejak dari tahun 1830 sehingga kemerdekaan dicapai pada tahun 1962. Bukan sahaja kekayaannya dikaut dan dirompak kerana begitulah tabiat penjajah, bahkan jatidiri rakyatnya mahu dicabut supaya tidak ada lagi jatidiri sebagai bangsa Arab Muslim.

Para ulama ditahan dan sekolah-sekolah agama ditutup. Bahasa Arab dilarang untuk diajar, jatidiri Islam dicabut dan gerakan Kristianisasi dikembangkan. Penjajah Perancis memberikan tanah dan bangunan kepada bangsa Perancis dan konco-konconya. Rakyat Algeria dihalau dan dihambat ke pendalaman sama seperti yang dilakukan oleh zionis yahudi terhadap umat Islam Palestin.

Gerakan menentang penjajah dimulakan oleh para ulama dan pejuang-pejuang Islam. Pada tahun 1832, al-Amir Abdel Qader memulakan gerakan jihad terhadap penjajah Perancis dengan perang gerila menentang penjajah yang mempunyai pelbagai kelengkapan senjata yang canggih dan tersusun. Pihak Perancis menanganinya dengan pelbagai bentuk kekerasan dan kekejaman sehingga mereka berjaya menahan al-Amir Abdel Qader pada tahun 1847.

Gerakan jihad tidak boleh dipadamkan, perjuangan diteruskan silih berganti oleh generasi selepas daripada itu sehinggalah pada tahun 1931 munculnya seorang tokoh ulama dan pejuang Abdel Hamid bin Badis yang mengambil pendekatan membangunkan anak-anak muda dengan tarbiyah Islam, meniupkan semangat jihad dalam diri mereka untuk menentang penjajah Perancis. Slogannya yang masyhur dikenang sehingga ke hari ini;

“Islam adalah agama kami, bahasa Arab adalah bahasa kami dan Algeria adalah watan kami.”

Hasil daripada tarbiyah yang panjang ini sehinggalah melahirkan kesedaran yang menyeluruh, maka tercetuslah revolusi pada tahun 1954 sehingga kemerdekaan dicapai pada tahun 1962. Perjuangan yang panjang dan berliku ini mengorbankan lebih dari sejuta rakyat Algeria. Mereka sekali-kali tidak tunduk dan mengikut telunjuk penjajah.

Sejarah adalah fakta yang tidak boleh dinafikan. Sejarah membuktikan kecekalan rakyat Algeria bangkit memerdekakan tanahair mereka daripada penjajah Perancis. Begitu juga fakta sejarah akan terus menjadi saksi kezaliman Perancis terhadap negara-negara jajahannya yang akan kekal dalam lipatan sejarah selama-lamanya.

Tindakan Perancis ini tidak lain dan bukan melainkan mahu menutup pekong kezalimannya terhadap negara-negara jajahannya khususnya Algeria. Inilah sikap hipokrit dunia Barat sejak dahulu sehingga sekarang yang mesti difahami oleh Dunia Islam agar kita tidak dipatuk berkali-berkali oleh musuh yang sama.

Islam Memperkukuh Perpaduan

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 16/10/2021

- Advertisement -