‘Hilang kepala kura-kura ditelan dadanya’

- Advertisement -

SENATOR USTAZ IDRIS AHMAD

“Hilang kepala kura-kura ditelan oleh dadanya.”

Maksudnya: Orang yang hina tetapi berilmu tetap akan dihormati ramai.

Itulah kemuliaan bagi orang yang memiliki ilmu.

- Advertisement -

Manusia adalah penciptaan Allah SWT yang hebat dan istimewa kerana dikurniakan akal yang mampu menerima pelbagai jenis ilmu seterusnya mampu menguasai segenap cabang ilmu.

Seorang penuntut ilmu mempunyai darjat yang tinggi, seperti yang dikatakan oleh Saidina Ali karramallahu wajhah:

“Ilmu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga dirimu, sedangkan kamu menjaga harta, dan ilmu bertambah jika diamalkan sedangkan harta berkurangan jika dibelanjakan. Dan ulama itu akan tetap hidup selamanya meskipun jasadnya tidak ada, dan ajaran mereka selalu diingati dalam hati.”

Lebih hebatnya seseorang berilmu itu apabila ia mampu mengajarkan ilmu kebaikan kepada orang lain kerana Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ

“Barangsiapa yang menunjukkan kepada kebaikan maka dia akan mendapat pahala sepertimana pahala orang yang mengerjakannya.” (HR Muslim)

Sebaliknya jika kita mengajarkan perkara kejahatan, maka kita turut mendapat keburukan selagimana orang yang diajarkan itu mengerjakannya.

Namun, manusia tidak lari daripada melakukan kesalahan kerana itulah fitrah sepanjang proses pembelajaran. Rebutlah peluang untuk menjadi insan yang terus belajar dan mengajarkan kebaikan. Berusahalah untuk menjadi alim rabbani iaitu orang berilmu yang takut kepada Allah SWT. Semoga Allah SWT mengurniakan Taufik dan Hidayah-Nya buat kita semua.

Firman Allah SWT dalam surah Fatir ayat 28:

اِنَّمَا يَخْشَى اللّٰهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمٰۤؤُاۗ اِنَّ اللّٰهَ عَزِيْزٌ غَفُوْرٌ

Bermaksud: “Sesungguhnya diantara hamba-hamba Allah yang paling takut takut kepada-Nya adalah ulama (orang yang berilmu). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.” – HARAKAHDAILY 16/10/2021

- Advertisement -