Dakwaan 600 sertai PKR kurang berasas

- Advertisement -

TANAH MERAH: Dakwaan sebuah portal berita pembangkang yang mengatakan 600 ahli PAS di Dun Gual Ipoh menyertai PKR semalam dianggap kurang berasas.

Sebaliknya tidak sampai separuh daripada jumlah tersebut yang dikatakan menyertai PKR pada program yang dihadiri Setiausaha Agung PKR Dato’ Saifuddin Nasution Ismail kelmarin.

Bekas Ketua Penerangan PAS Tanah Merah Razali Yusof berkata, seorang pimpinan PKR yang berasal dari Dun berkenaan sudah lama menjalankan gerakan mendekati penyokong PAS yang kecewa dengan Umno.

- Advertisement -

Katanya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini pemimpin PKR terbabit mengagihkan keperluan harian kepada penduduk terutamanya penyokong PAS.

“Saya juga ada mendengar penduduk memberitahu pimpinan PKR terbabit yang juga seorang korporat sedia memberi apa sahaja bantuan kecuali rumah dan tanah.

“Maka tidak hairanlah ada penyokong PAS terutamanya di kampung-kampung yang terpengaruh dan terhutang budi dengan pemimpin PKR terbabit.

“Begitu juga seorang ahli PAS di Kampung Liku sebelum ini sering mendapat bantuan di bawah peruntukan kerajaan negeri juga terpengaruh dengan pemimpin PKR terbabit,” katanya di sini.

Sebuah portal berita semalam melaporkan 600 penyokong PAS di Dun Gual Ipoh menyertai PKR pada program yang dihadiri Setiausaha Agung parti itu.

Razali yang juga Pegawai Seranta Dun berkenaan berkata, PKR dan pembangkang sedang menjalankan gerakan mendekati penyokong PAS yang kurang berminat dengan Umno.

Difahamkan gerakan itu cuba mengungkitkan kembali kisah-kisah lama mengenai penganiayaan pemimpin Umno terhadap PAS sebelum ini.

Malah ada penyokong PAS yang segan untuk menjumpai pemimpin Umno yang juga Adun Gual Ipoh Mohd Bakri Mustapha bagi mendapat apa-apa bantuan.

Kesempatan tersebut direbut pemimpin pembangkang bagi melaga lagakan Umno dan PAS di peringkat kampung sehingga ada yang terpengaruh.

Dun Gual Ipoh juga dikatakan menjadi sasaran PKR bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15. Malah pemimpin utama PKR di peringkat pusat juga mengeluar kenyataan kononnya mampu merampas Kelantan.

Sedangkan pada PRU lepas Pakatan Harapan gagal menang sebarang kerusi di Kelantan. Malah parti itu juga bergolak selepas bekas pengerusi PKR Kelantan Abdul Aziz Kadir dan ramai pengikutnya keluar PKR dua tahun lepas. – HARAKAHDAILY 16/10/2021

- Advertisement -