Polis Melaka pantau SOP di kawasan tumpuan pelancong

- Advertisement -

MELAKA: Sebanyak 2,453 pegawai dan anggota polis di Melaka akan digerakkan di lokasi tumpuan pelancong di negeri itu, bagi memantau aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha bersama mengekang penularan Covid-19.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata ia berikutan jangkaan kemasukan kenderaan ke Melaka meningkat kepada 100,000 hingga 120,000 kenderaaan dalam tempoh tiga hari, bermula hari ini.

- Advertisement -

“Anggota dan pegawai polis terlibat termasuk 168 anggota pasukan pemantau yang akan memberi tumpuan di kawasan pelancongan, tepi pantai dan medan ikan bakar yang kita libat banyak berlaku pelanggaran SOP.

“Pemantauan termasuk memeriksa sijil digital vaksinasi bagi memastikan mereka telah menerima dua dos lengkap bagi membolehkan mereka melancong,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Ketibaan Pelancong ke Melaka Sempena Kebenaran Merentas Negeri, di Tol Ayer Keroh di sini hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak 1,000 bag cenderahati berupa kit pencegahan Covid-19 yang mengandungi pelitup muka dan cecair pembasmi kuman, diagihkan kepada kenderaan yang memasuki Melaka oleh Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata selain pemantauan aspek SOP Covid-19, polis Melaka juga akan mempertingkatkan kawalan lalu lintas di negeri itu, bagi memastikan aliran trafik bergerak lancar terutama di kawasan bandar.

“Kita juga menyeru masyarakat atau pelancong yang berkunjung ke Melaka mematuhi SOP Covid-19 yang ditetapkan kerajaan supaya walaupun melancong, keselamatan awam juga perlu diberi perhatian,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Jailani berkata sektor pelancongan Melaka diharap dapat pulih pada tahap 48 hingga 60 peratus dalam masa terdekat, selepas kerajaan mengumumkan kebenaran rentas negeri termasuk bagi aktiviti pelancongan bermula Isnin lepas.

“Sebelum Covid-19 melanda, Melaka menerima pelancong antara 60,000 hingga 80,000 orang sehari pada musim kemuncak seperti cuti sekolah dan kita berharap situasi ini akan segera pulih seperti sedia kala, bagi membantu pemain industri pelancongan yang terkesan.

“Setakat ini kadar vaksinasi Covid-19 dalam kalangan pemain industri pelancongan telah mencapai 98 peratus dan setiap premis pelancongan diwajibkan melakukan sanitasi setiap hari,” katanya.

Katanya setakat hari ini, hotel di Melaka menerima tempahan bilik yang tinggi dan kebanyakan premis berkenaan telah penuh sehingga pelancong perlu menunda tarikh penginapan mereka. – BERNAMA

- Advertisement -