Peralihan ke fasa endemik lonjak PKS, sektor pelancongan

- Advertisement -

Oleh KAIROL ZULHAIDI

KUALA LUMPUR: Peralihan ke fasa endemik tidak lama lagi bakal memberikan sinar harapan baharu kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), seterusnya membantu memulihkan sektor pelancongan dalam negara.

Penganalisis Politik dan Ekonomi, Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mohamed berkata, transisi ke fasa endemik dapat memberikan nafas kelegaan kepada usahawan-usahawan PKS dan membantu merancakkan ekonomi negara.

- Advertisement -

Menurutnya, pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi membantu menjana ekonomi negara dan seterusnya dapat memulihkan sektor pelancongan secara berperingkat.

“Kita dapati sebahagian daripada industri PKS mampu mengharungi situasi tidak menentu disebabkan pandemik, manakala sebahagian lagi PKS agak sukar menghadapi peralihan sebelum ini. Justeru, pembukaan semula sektor ekonomi ini mampu memberikan impak positif yang besar  kepada industri PKS.

“Industri PKS telah menyumbang kepada 38 hingga 40 peratus keluaran dalam negara kasar  (KDNK) dan menyumbang kepada kira-kira tujuh juta peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia,” ujarnya.

Sehubungan itu, dengan berlakunya aktiviti rentas negeri dan juga aktiviti pelancongan yang dibenarkan di pelbagai negeri seluruh Malaysia pada ketika ini, ia sedikit sebanyak membantu industri PKS dalam konteks perniagaan, disebabkan oleh pergerakan rentas negeri berlaku dengan begitu baik pada ketika ini.

Katanya lagi, sebagai contoh, pembukaan semula  Langkawi sebagai projek rintis gelembung pelancongan telah memberikan satu impak yang besar kepada ekonomi terutama dari segi pelancongan, yang mana ia telah menarik lebih 10,000 pelancong seminggu untuk datang melancong ke pulau tersebut sama ada melalui  lapangan Terbang Langkawi atau di jeti Kuala Perlis.

Dalam pada itu, katanya, ini menunjukkan bahawa sektor pelancongan dapat dipulihkan secara berperingkat bukan sahaja di Langkawi, bahkan di pusat-pusat pelancongan yang lain juga akan berkembang selepas ini.

“Namun, saya melihat dalam konteks fasa endemik ada beberapa perkara perlu diberikan pertimbangan. Terutama sekali, dalam konteks peruntukan pembangunan perlu dipertingkatkan kerana ia  secara tidak langsung dapat meningkatkan peluang pekerjaan rakyat Malaysia.

“Peruntukan pembangunan dapat merancakkan ekonomi negara dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya dalam Fokus Biz: Menjayakan Transisi Endemik melalui segmen, Biz Malaysia yang disiarkan melalui saluran TV1 RTM hari ini.

Tambah Anuar Shah, sebelum ini melalui Belanjawan 2021, peruntukan untuk  perbelanjaan pembangunan (DE) adalah sebanyak RM69 billion berbanding perbelanjaan mengurus (OE), RM236.5 billion.

“Justeru, bagi Belanjawan 2022, peruntukan perbelanjaan pembangunan perlu dipertingkatkan agar dapat merangsang ekonomi negara dengan menyuntik sumber kewangan yang lebih dalam membantu PKS, dan seterusnya mampu meningkatkan lagi peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia,” katanya.-HARAKAHDAILY 15/10/2021

- Advertisement -