PAS P Pinang sentiasa bersolidariti bersama rakyat Palestin

- Advertisement -

KEPALA BATAS: PAS Pulau Pinang sentiasa bersolidariti dan berdiri teguh bersama rakyat Palestin dalam perjuangan mereka dalam misi membebaskan Al-Quds daripada cengkaman rejim Zionis Israel, demikian tegas Pesuruhjayanya, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff.

Beliau bercakap demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada Ketua Kesatuan Ulama Palestin Cawangan Asia Tenggara Sheikh Dr Sheikh A’hid Abu Alatta di Markaz Tarbiyah PAS Pongsu Seribu dan turut dihadiri oleh pimpinan harian Badan Perhubungan PAS negeri.

- Advertisement -

Dr Sheikh A’hid dalam ucapannya menyatakan ucapan terima kasih daripada seluruh rakyat Palestin kepada rakyat Malaysia terutamanya rakyat negeri Pulau Pinang yang telah membantu mereka dari segi kewangan dan moral.

“Saya sangat teruja dan berbangga dengan solidariti masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa terhadap rakyat Palestin dan ianya satu perkembangan yang positif dan menarik kerana kezaliman Zionis Israel kini sudah diketahui oleh seluruh masyarakat dunia dan semuanya mengutuk kekejaman yang Zionis lakukan,” ujarnya.

Ustaz Muhammad Fauzi dan Sheikh Dr. A’hid sempat berbincang juga mengenai hubungan akrab Malaysia dan Palestin serta isu-isu semasa umat Islam sekarang ini.

“Insya-Allah PAS terutamanya di Pulau Pinang akan sentiasa bersama rakyat Palestin dan kami sentiasa mendoakan semoga Al-Quds dan Masjid Al-Aqsa yang menjadi milik umat Islam dibebaskan daripada cengkaman penjajahan Israel kerana ia sememangnya kewajipan kita bersama untuk pertahankannya,” kata Ustaz Fauzi.

Pada akhir pertemuan Sheikh Dr. A’hid menghadiahkan sebuah buku cenderamata kepada Ustaz Muhammad Fauzi dan PAS Pulau Pinang juga menyampaikan sumbangan untuk rakyat Palestin. – HARAKAHDAILY 15/10/2021

- Advertisement -