Ibu bergelut dengan beruk selamatkan anak

- Advertisement -

Oleh MIJIE YUSOF

KUALA KRAI:
Seorang kanak-kanak berusia dua tahun berdepan dengan detik cemas apabila digigit beruk liar yang berkeliaran di halaman rumahnya di Kampung Lata Rek dekat sini baru-baru ini.

Menurut ibunya Nooriza Bakar sebelum kejadian, anaknya Farish Sukiman berada di serambi rumahnya bersama adik beradik yang lain.

Bagaimanapun katanya sekumpulan beruk liar keluar dari hutan berhampiran rumahnya meluru menggigit betis anaknya.

- Advertisement -

“Selepas mendengar jeritan anak, saya bergegas menyelamatkan Farish yang cuba diheret beruk terbabit.

“Saya terpaksa bergelut dengan haiwan liar tersebut sehingga beruk terbabit melepaskan anak saya. Kesan gigitan menyebabkan di bahagian betisnya berdarah,” katanya ketika ditemui ketika diziarahi Adun Manek Urai Mohd Fauzi Abdullah semalam.

Berikutan kejadian itu kanak-kanak malang terbabit dikejar ke Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai bagi mendapat rawatan lanjut.

Menurutnya akibat luka yang agak dalam kesan gigitan beruk tersebut menyebabkan anaknya ditahan di wad selama dua hari.

Kejadian malang itu berlaku kira-kira seminggu lepas. Beruk dan binatang liar sering datang ke kawasan kampung bagi mencari makanan.

Sementara itu Mohd Fauzi berkata, kejadian yang berlaku ke atas kanak-kanak malang tersebut disampaikan Penghulu Mukim Lata Rek pada program ziarah mingguan di kawasan Dun Manek Urai.

“Kanak-kanak malang itu masih lagi trauma akibat diserang beruk liar. Dia baru keluar wad beberapa hari lepas.

“Saya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya memandangkan binatang liar sering datang ke kawasan kampung bagi mencari makanan.

“Ibu bapa yang tinggal di kawasan berhampiran hutan juga hendaklah sentiasa mengawasi anak-anak mereka ketika berada di luar rumah,” katanya.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga terbabit. Sempena program ziarah itu Adun Manek Urai turut mengunjung rumah penduduk yang terlantar sakit dan warga emas keuzuran. – HARAKAHDAILY 15/10/2021

- Advertisement -