Dikompaun, diarah patah balik cuba masuk Kelantan tanpa lengkap vaksinasi

TUMPAT: Sepasang kekasih yang cuba memasuki Kelantan hari ini dikompaun RM2,000 dan diarahkan berpatah balik kerana didapati tidak lengkap suntikan vaksin Covid-19.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata kedua-duanya yang berusia 39 dan 44 tahun itu diarahkan berpatah balik semasa pemeriksaan polis di sekatan jalan raya dekat Jeli, kira-kira 12 tengah hari ini.

Advertisement

Beliau berkata pasangan kekasih itu dipercayai datang dari Perak dan menuju ke Pasir Mas dengan alasan pulang ke kampung untuk berkahwin.

“Dalam pada itu, polis turut mengeluarkan kompaun ke atas 10 individu hari ini atas kesalahan menjalankan aktiviti pendakian tanpa suntikan lengkap vaksin Covid-19 dekat Bukit Panau, Tanah Merah.

“Kompaun dikeluarkan semasa polis menjalankan operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di lokasi tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan Op Pematuhan SOP Covid-19 Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara di Pantai Geting, di sini hari ini.

Mengenai operasi pematuhan berkenaan, Shafien berkata pihaknya menggunakan teknologi dron terutama di kawasan peranginan bagi meningkatkan pemantauan serta memudahkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pengunjung sekiranya berlaku pelanggaran SOP.

Sementara itu, beliau berkata berlaku kenaikan kemasukan antara 10 hingga 15 peratus kenderaan di pintu sempadan negeri ini terutama dari negeri utara namun keadaan masih terkawal. – BERNAMA