Alitalia terpaksa tutup selepas 75 tahun beroperasi

ROM: Syarikat penerbangan utama Itali, Alitalia, pada Khamis melakukan penerbangannya yang terakhir selepas 75 tahun beroperasi.

Penerbangan terakhir itu membawa 180 penumpang dan anak kapal, berlepas dari Cagliari di pulau Sardinia menuju ke ibu negara Itali, Rom, lapor Agensi Anadolu.

Advertisement

Ditubuhkan pada 16 September 1946, Alitalia muncul antara syarikat penerbangan terkemuka di Eropah pada 1960-an. Namun, syarikat milik negara itu acap kali dihambat masalah kewangan dan sering menerima bantuan kerajaan.

Meskipun Kesatuan Eropah (EU) memutuskan enggan memberi bantuan kewangan, Alitalia telah menerima kira-kira 13 bilion euro dalam bentuk pinjaman kecemasan daripada kerajaan Itali sepanjang 20 tahun lepas.

Pandemik Covid-19 dan sekatan pergerakan memburukkan lagi krisis kewangan syarikat itu.

Selepas Alitalia muflis, Itali membiayai sebuah syarikat penerbangan baharu Italia Trasporto Aereo (ITA) yang bakal menjadi syarikat penerbangan baharu kerajaan.

ITA ditubuhkan dengan pelaburan €720 juta, akan melakukan penerbangan pertama pada Sabtu.

Kira-kira suku kakitangan Alitalia akan diambil bekerja oleh ITA. – BERNAMA