TalentCorp giat usaha tingkatkan kebolehpasaran graduan

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Isu pendidikan graduan universiti yang tidak selari dengan keperluan industri semasa, dapat diatasi dengan menggunakan pendekatan analisis data dan maklumat tepat berkaitan keperluan tenaga mahir.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, berkata ini menyebabkan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) giat memberi penekanan terhadap peningkatan kebolehpasaran graduan akademik serta TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dengan menggunakan Senarai Pekerjaan Kritikal.

- Advertisement -

Katanya, senarai itu diperkenalkan untuk mengenal pasti kemahiran dan pekerjaan yang sukar dipenuhi, merangkumi keperluan tenaga mahir dan separa mahir merentasi sektor utama negara.

“Senarai itu diterbitkan oleh TalentCorp sejak 2015 dengan kerjasama Institut Analisis Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) di bawah Pejabat Perdana Menteri dan juga Bank Dunia.

“TalentCorp turut menjadi ahli jawatankuasa mesyuarat saringan awal anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi menyemak silibus kursus baharu di universiti awam dan mengambil kira input daripada kajian Senarai Pekerjaan Kritikal,” katanya menjawab soalan Senator Khairil Nizam Khiruddin di Dewan Negara, hari ini.

Awang berkata, kerajaan juga memperkenalkan inisiatif latihan industri berstruktur untuk mendorong penglibatan syarikat dan industri melatih bakat muda dalam negara.

Katanya, ini dilakukan dengan menawarkan lebih banyak peluang penempatan latihan industri berkualiti tinggi melalui insentif potongan cukai yang kerajaan beri secara berganda dan sejak dilaksanakan pada tahun 2012, program ini memanfaatkan lebih 90,000 graduan TVET.

“Kajian Keberkesanan Latihan Industri Berstruktur pada tahun 2020 mendapati sebanyak 26 peratus pelatih industri berjaya mendapat pekerjaan pertama hasil tugasan Latihan Industri,” katanya.

Beliau berkata, TalentCorp juga menubuhkan badan penasihat industri dan bakat, yang dianggotai Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Sumber Manusia atau kapten industri serta wakil bahagian pembangunan modal insan industri merentasi pelbagai sektor ekonomi bagi tujuan itu. – HARAKAHDAILY 14/10/2021

- Advertisement -