Solat Jumaat di Kelantan ikut kapasiti masjid

- Advertisement -

KOTA BHARU: Solat fardu Jumaat di masjid negeri, bandar, jajahan dan mukim di seluruh Kelantan dibenarkan dengan mengikut kapasiti sebenar masjid.

Bagaimanapun kedudukan antara jemaah adalah berdasarkan penjarakan fizikal 1.5 meter. Perlaksanaannya berkuatkuasa 15 Oktober (esok).

Begitu juga solat fardu lima waktu di masjid negeri, bandar, jajahan, mukim, serta surau dan musolla dibenarkan dengan mengikut kapasiti sebenar dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.

- Advertisement -

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istidat Melayu Kelantan (Maik) Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, perkara itu diperkenan Sultan Muhammad V selaras peruntukan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

Katanya, kakitangan masjid dan jemaah yang hadir wajib menerima dos lengkap suntikan vaksin jenis Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac selepas hari ke-14 daripada tarikh suntikan dos kedua.

“Bagi penerima vaksin satu dos suntikan iaitu Johnson & Johnson dan CanSino perlu melepasi hari ke-28 daripada tarikh suntikan.

“Jemaah yang hadir ke masjid hendaklah menunjukkan bukti sijil digital vaksin melalui aplikasi mySejahtera kepada petugas masjid,” katanya pada kenyataan hari ini.

Selain itu pelu memakai pelitup muka, membawa sejadah dan berwuduk.

Menurutnya jemaah hendaklah membawa sejadah bersaiz besar dan mengambil wuduk dari rumah masing-masing sebelum ke masjid.

Kata beliau juga pintu dan tingkap hendaklah dibuka bagi memastikan sistem pengudaraan yang baik dan selamat.

“Penggunaan pendingin hawa di masjid, surau dan musolla adalah tidak digalakkan,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau aktiviti lain seperti majlis-majlis zikir, kelas al-Quran, kuliah umum dan khas tidak dibenarkan.

Menurutnya juga kelas-kelas pegajian secara atas talian digalakkan supaya pengimarahan masjid dapat diteruskan.

“Pihak MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak dalam melaksanakan ketetapan itu.

“SOP sebagaimana di atas hendaklah dipatuhi sepenuhnya pihak pengurusan masjid, surau dan musolla. Jika didapati melanggar SOP ditetapkan akan diarahkan tutup,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/10/2021

- Advertisement -