Sasar 200,000 individu disuntik dos ketiga di Kelantan

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mula melaksanakan suntikan dos ketiga hari ini yang melibatkan 20,000 barisan hadapan dan 190,000 individu yang mempunyai penyakit komorbid.

Pengarahnya, Dato Dr Zaini Hussin berkata langkah tersebut turut melibatkan rakyat yang ingin keluar negara bagi memenuhi polisi negara berhubung langkah untuk menyekat penularan wabak Covid-19.

Menurut beliau, suntikan tersebut hanya dikenakan kepada pengguna vaksin dari jenis Pfizer yang dibuat setelah liputan imunisasi populasi dewasa seluruh negara mencapai 80 peratus.

- Advertisement -

“Dos ketiga dimulakan hari ini di mana kita mulakan kepada barisan hadapan, kemudian mereka yang punyai kormorbid dan mereka yang ingin keluar negara.

“Kita tiada satu angka yang tepat, tetapi pada analisa kita secara kasar dan kita menganggarkan kira-kira 200,000 individu yang perlukan dos ketiga dan kita akan bagi hanya Pfizer,” katanya.

Beliau berkata demikian di majlis penyerahan pakaian pelindung diri (PPE) melalui Projek Tabung Wira Covid Yayasan Ikhlas di perkarangan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) di sini hari ini.

Yayasan Ikhlas yang diwakili pengerusinya, Prof Dr Zainurrashid Zainuddin menyerahkan 10,500 set PPE bernilai lebih RM307,350 bagi kegunaan hospital di Kelantan.

Dr Zaini turut meminta orang ramai supaya menjaga SOP yang ditetapkan selepas kerajaan memberikan kelonggaran termasuk pergerakan rentas negeri.

Malah katanya kerajaan turut mengalakkan ujian kendiri sebelum mengambil keputusan untuk pulang ke kampung sebagai tindakan dan tanggungjawab dalam mengekang penularan wabak Covid-19.

“Endemik sekarang kita perlu jaga dan dengan pembukaan sempadan negeri mungkin kita agak bebas, jadi peranan kita untuk mempraktikan normal baru dalam kehidupan harian.

“Kita menggalakkan ujian kendiri perlu dipraktikan kepada individu yang berasa berisiko dan positif, mesti ada kesedaran melaksanakan isolasi kendiri supaya kita sama-sama dapat mengekang wabak,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/10/2021

- Advertisement -