Negara maju perlu tingkat komitmen pemuliharaan biologi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Negara maju perlu meningkatkan komitmen dalam pemuliharaan kepelbagaian biologi terutama kepada negara membangun termasuk dalam aspek pembangunan kapasiti.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata aspek lain merangkumi pemindahan teknologi dan mobilisasi sumber yang selari dengan prinsip ‘Common but Differentiated Responsibility’ dan perkara itu perlu diterjemah dalam Kerangka Biodiversiti Global Pasca 2020 yang akan menggantikan Sasaran Biodiversiti Aichi.

- Advertisement -

Beliau berkata Malaysia komited dalam merealisasikan matlamat utama Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) iaitu memulihara kepelbagaian biologi, menggalakkan penggunaannya secara mampan dan memastikan perkongsian faedah yang adil dan saksama hasil penggunaan sumber biologi.

“Antara inisiatif nasional yang diketengah termasuk Pengurusan Hutan Secara Berkekalan, Kempen Penghijauan Malaysia, Akta Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 serta insentif kewangan bagi pemuliharaan biodiversiti seperti Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT) dan Kerangka Kewangan REDD Plus (RFF),” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan pada Mesyuarat Kelima Belas Segmen Peringkat Tinggi Konferens Pihak-Pihak dalam CBD (HLS CBD COP15) yang dianjurkan secara dalam talian.

Menurut kenyataan itu, Mesyuarat HLS CBD COP15 merupakan antara platform anggota CBD menyuarakan pandangan dan komitmen mereka mengenai biodiversiti di peringkat antarabangsa.

CBD merupakan perjanjian alam sekitar pelbagai hala yang dianggotai 193 negara dan Malaysia menjadi negara parti CBD sejak 1994.

Takiyuddin juga berkata sebagai antara negara yang paling kaya dengan khazanah biodiversiti, penglibatan Malaysia dalam HLS CBD COP15 adalah signifikan untuk menyuarakan pandangan dan pendirian kita selain menunjukkan kepimpinan dalam pemuliharaan biodiversiti di peringkat antarabangsa. – BERNAMA

- Advertisement -