Masyarakat masih kurang faham peranan Dewan Negara

KUALA LUMPUR: Masih ramai dalam kalangan masyarakat tidak mengetahui peranan dimainkan Dewan Negara sebagai legislatif tertinggi di Malaysia, kata Yang di-Pertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata negara tidak akan mempunyai sebarang undang-undang tanpa kewujudan Dewan Negara.

Advertisement

“Jika kita tidak ada Dewan Negara, tidak ada Perkara 44 dalam Perlembagaan Persekutuan (Keanggotaan Parlimen)…rumusannya ialah komuniti kita kurang faham apa itu Dewan Negara. Oleh demikian kita jangan terasa sugul, kita jangan rasa ketidakprihatinan. 

“Kita terus berjuang oleh kerana kita tahu komuniti Dewan Negara yang wujud dan berkhidmat pada hari ini dan dahulunya memainkan peranan nation building atau membina negara yang utama di tanah air kita,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Meraikan Ahli Dewan Negara Tamat Tempoh Perkhidmatan Bagi Tahun 2020 dan 2021 di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah bekas Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara Datuk Seri Abdul Halim Abd Samad dan bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Shah Abu Shah.

Sementara itu, Rais mengesyorkan Ahli Dewan Negara menggunakan kepakaran mengikut latar belakang masing-masing antaranya seperti peguam dan pemain industri bagi menyelesaikan masalah negara.

“Kita bawa ke jawatankuasa pilihan kita yang di bawah Seksyen 9 (Power of House to punish for contempt of the House) Akta 1952 (Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952) mempunyai kuasa untuk memperbaiki keadaan dan sekarang kita dah ada jawatankuasa kesejahteraan.

“Ayuh kita buat kerja rumah ini, kita pecahkan masalah-masalah itu, kita panggil menterinya, timbalan menterinya, ketua setiausahanya datang. Di bawah undang-undang 1952 itu dan di bawah peraturan mesyuarat, kita berhak memanggil mereka, jika mereka tidak datang kita kenakan surcaj dan juga sesuatu yang boleh mereka fikir dua kali,” katanya.

Menurut Rais, beliau mahu Dewan Negara memperkukuhkan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 dan menghidupkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963. – BERNAMA