Kerajaan negeri sokong ujian Covid-19 ke Langkawi dihentikan

- Advertisement -

Oleh: SARINA ISMAIL 

ALOR SETAR: Kerajaan negeri mengalu-alukan keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberhentikan keperluan ujian pengesanan Covid-19 untuk masuk melancong ke Langkawi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Firdaus Ahmad berkata, keputusan itu secara tidak langsung memudahkan perjalanan semua pengunjung ke Langkawi sama ada melalui laut atau udara.  

- Advertisement -

Sungguhpun begitu, pengunjung disarankan agar melakukan pengesanan tersebut secara kendiri untuk kebaikan bersama di samping terus memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dipatuhi. 

“Pengunjung boleh buat sendiri ujian pengesanan Covid-19 itu sebelum meneruskan perjalanan. Semua itu bukan sahaja untuk keselamatan pengunjung lain tetapi untuk diri sendiri juga,” jelas beliau ketika dihubungi HarakahDaily, di sini, hari ini.

Firdaus Ahmad.

Menurut Firdaus lagi, kebenaran merentas negeri yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, 10 Oktober lalu secara tidak langsung akan melonjakkan lagi jumlah pelancong ke pulau Lagenda itu.

Oleh itu keputusan memberhentikan ujian pengesanan Covid-19 di pintu masuk lapangan terbang dan jeti akan memberi kemudahan kepada pengunjung, mengurangkan kos serta meringankan tugasan para petugas barisan hadapan.

“Penduduk Langkawi sangat mengalu-alukan kehadiran para pelancong tetapi kalau banyak  prosedur yang perlu dilakukan mungkin akan mengurangkan kehadiran mereka. Tidak mustahil pelancong beralih ke tempat lain,” ujarnya lagi. 

Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan ujian pengesanan Covid-19 terhadap pengunjung di Langkawi ditamatkan dan berkuat kuasa serta-merta.

Namun begitu kata beliau, sebagai langkah pengukuhan tindakan kesihatan awam, pelancong yang memasuki pulau peranginan tersebut digalakkan membuat ujian kendiri sebelum memulakan perjalanan. 

Dalam pada itu, syarat wajib vaksinasi Covid-19 lengkap dua dos bagi semua pelancong dewasa masih kekal dan perlu dipatuhi.

Individu yang bergejala, demam, batuk dan selsema dinasihatkan menangguhkan dahulu perjalanan. 

Sehingga kini, lebih 70,000 pelancong hadir ke pulau terbabit dan menurut Firdaus sasaran 200,000 pada penghujung tahun ini mungkin akan tercapai.

“Apabila rentas negeri sudah dibenarkan, saya jangka kehadiran pelancong ke Langkawi akan mencapai sasaran atau mungkin lebih dari itu.

“Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor pun ada sebut lepas ‘boost’ (galakan) pengunjung ke Langkawi, kita nak tengok juga pelancongan di sebelah tanah besar pula,” kata beliau. – HARAKAHDAILY14/10/2021

- Advertisement -