Kejayaan vaksinasi kepada rakyat Malaysia

ALHAMDULILAH, data hari ini (30 September 2021) menunjukkan program vaksinasi yang dibuat oleh kerajaan mula memberi kesan yang positif.

Hasil daripada usaha berterusan dan vaksinasi secara besar-besaran yang mana setakat hari ini hampir 61 peratus populasi Malaysia telah menerima dua dos lengkap.

Advertisement

Menurut Menteri Kesihatan, Malaysia bakal memasuki fasa endemik bermula hujung Oktober ini. Peralihan fasa ini dijangka berlaku selepas 80 peratus populasi dewasa negara ini lengkap menerima dua dos vaksin. Sudah tentu ianya permulaan yang sangat baik ke arah pemulihan ekonomi negara.

Ternyata, COVID-19 adalah racun yang sangat berbisa yang menyerang seluruh dunia. Tidak hanya negara kita mengalaminya. Pada tahun lepas ekonomi Britain merosot sebanyak 9.9 peratus akibat wabak ini dan ianya adalah yang terburuk dicatatkan semenjak tahun 1709.

Dalam tempoh 1 tahun, ekonomi Britain telah menunjukkan pemulihan iaitu perkembangan ekonomi mereka pada tahap 4.8 peratus suku tahun ke-2 2021. Ekonomi Britain berkembang pada kadar terpantas dalam 80 tahun.

Bagaimana perkara ini berlaku? Jawapannya ialah terletak pada program vaksinasi mereka. Britain telah menyelesaikan vaksinasi penuh lebih daripada 67 peratus populasi penduduk mereka.

Perkembangan Ekonomi US pula pada Suku ke-2 tahun 2021 menokok (6.5 peratus) – vaksinasi penuh (56 peratus) . Manakala perkembangan ekonomi China pada Suku ke-2 tahun 2021 ialah (7.9 peratus) selepas vaksinasi penuh rakyatnya melebihi (70 peratus).

Begitu juga di Malaysia, dapatan terkini menunjukkan berlakunya pemulihan pertumbuhan ekonomi negara daripada negatif 0.5 peratus pada suku pertama tahun 2021 kepada 16.1 peratus pada suku ke dua tahun 2021.

Kumulatif Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sehingga Jun lalu yang direkodkan negatif 2 peratus akan berada pada unjuran lingkungan sasaran KDNK keseluruhan tahun ini iaitu 3.0 peratus. 

Jangkaannya, KNDK negara akan lebih baik pada Suku ke-4 2021 apabila lebih banyak sektor ekonomi mula dibuka. Pemulihan ekonomi ini juga membantu memulihkan ekonomi rakyat dan negara serta ianya juga mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

OECD mendapati inisiatif kerajaan memperkenalkan lapan pakej rangsangan bernilai lebih daripada 35 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berjaya membantu isi rumah dan komuniti perniagaan yang terkesan.

OECD juga melihat inisiatif kerajaan melalui moratorium juga telah berjaya mengurangkan beban kewangan isi rumah dan komuniti perniagaan yang terkesan.

Melihat kepada data tersebut, Malaysia berada di landasan yang paling tepat untuk memulihkan kembali ekonominya.

YB USTAZ ABDUL LATIFF ABDUL RAHMAN 
Ahli Parlimen Kuala Krai – HARAKAHDAILY 14/10/2021

Sumber Asal: https://fb.watch/8DnHsfA9r1/

*Ucapan perbahasan Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada 30 September 2021