Guna pakaian, bot khas selamat mangsa banjir Covid-19

Foto daripada Facebook JBPM Negeri Kelantan.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan akan menggunakan bot dan pakaian khas bagi gerak kerja menyelamatkan mangsa banjir yang dijangkiti Covid-19 nanti.

Pengarah JBPM Kelantan Zainal Madasin berkata pakaian khas ‘tyvex’ dan bot khas itu merupakan salah satu penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut di negeri ini ketika negara masih berdepan penularan jangkitan Covid-19.

- Advertisement -

“Kita menambah baik gerak kerja bagi menghadapi banjir di Kelantan yang dijangka berlaku November ini, persiapan kita ada kelainan kerana akan melibatkan usaha menyelamat mangsa banjir ketika penularan Covid-19.

“Pakaian dan bot itu bertujuan menjaga keselamatan anggota kami dan orang awam yang dijangkiti Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas Program Persediaan Kesiapsiagaan JBPM Kelantan menghadapi Monsun Timur Laut di Ibu Pejabat JBPM di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut berbincang dengan pelbagai agensi berkaitan bagi menghadapi bencana banjir itu termasuk mengasingkan mangsa banjir yang positif Covid-19 daripada mangsa lain.

“Sebelum melakukan penyelamatan, kita akan dapatkan maklumat terlebih dahulu daripada Kementerian Kesihatan bagi memastikan mangsa itu dijangkiti Covid-19 atau tidak,” katanya dan menambah ketika ini 1,245 anggota JBPM Kelantan, 57 bot, 11 lori, 37 pacuan empat roda dan 811 jaket keselamatan sudah siap sedia untuk digerakkan bagi menghadapi musim banjir itu. – BERNAMA

- Advertisement -