Berlumba di tempat yang betul – Kecik

- Advertisement -

KEMAMAN: “Berlumba motosikal kini menjadi kegilaan sesetengah remaja, tapi kalau nak berlumba biarlah kena pada tempatnya.”

Itu harapan yang diluahkan oleh Muhammad Asyraf Zailani, 22, atau ‘Kecik’ panggilan lain oleh rakannya yang sedang mencipta nama di persada sukan permotoran di negeri Terengganu.

- Advertisement -

Kecik tempoh hari telah berjaya menaiki beberapa buah podium, di antaranya di kejohanan Terbuka Cubcross sempena Kemaman Track Day 2021. Dengan kemahiran tunggangan yang dipamerkannya di Litar Monica Bay, dia dinobatkan sebagai juara kategorinya.

Kejayaan terbaharu Asyraf adalah selaku naib juara kategorinya pada Cubcross Terengganu Kejohanan Fun Race Track sempena Hari Sukan Negara di Panchur Kuin, Batu Rakit.

Pelumba muda yang ditemui pemberita di majlis keraiannya di Pusat Tarbiyah PAS Bukit Kemuning anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Darat Kijal bersama Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal kelmarin mengucapkan syukur dan berterima kasih di atas majlis yang diadakan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur di atas kejayaan ini dan berterima kasih di atas majlis yang diadakan ini.

“Walaupun ringkas tapi ia amat bermakna buat saya dan pasukan di mana usaha yang kami lakukan selama ini tidaklah sia-sia dan ada pihak yang menghargainya,” ucapnya.

Asyraf yang mengendalikan jentera Honda Wave 125cc merupakan anak kedua daripada empat adik beradiknya yang tinggal di Kampung Meraga Beris, Kijal dan kini pasukannya bernaung di bawah Geng Cubcross Kijal Kemasik (GCKK).

Turut hadir dalam majlis tersebut, Zabidin Awang selaku Pengerusi JPKK Darat Kijal, Adnan Mohamad, Setiausaha Majlis Tindakan PAS DUN Kijal yang mewakili Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Hazri Jusoh, Osman Awang, Ketua Balai Polis Kijal dan Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS DUN Kijal. – TRDI.my

- Advertisement -