Al-Quran penawar dan rahmat bagi Mukmin

SETIAP hari Rabu saya bersama dengan semua pegawai di Pejabat Timbalan Menteri KPWKM akan mengadakan usrah mingguan. Saya mengikuti usrah kali ini secara atas talian dalam kenderaan menuju ke Parlimen bagi menjalankan amanah menjawab soalan di Dewan Negara. Alhamdulillah teknologi hari ini memudahkan urusan kita.

Pengisian hari ini berkenaan dengan kehebatan al-Quran yang menjadi penawar dan rahmat kepada manusia. Rujukan bagi tajuk ini adalah ayat 82 Surah Al-Isra’. 

Advertisement

Firman Allah S.W.T:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْاٰنِ مَا هُوَ شِفَاۤءٌ وَّرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِيْنَۙ وَلَا يَزِيْدُ الظّٰلِمِيْنَ اِلَّا خَسَارًا

“Dan Kami turunkan dari al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.”

(Al-Isra’: 82)

Al-Quran merupakan kurniaan istimewa Allah S.W.T kepada hamba-hambaNya sebagai pedoman hidup yang lengkap bagi menjamin keselamatan, kebahagiaan dan kesejahteraan. Sesungguhnya terkandung di dalamnya penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.

Antara syarat untuk menjadikan ayat-ayat al-Quran menjadi syifa’ atau penawar kepada kita adalah:

1. Membacanya ikhlas kerana Allah kerana Dia-lah Yang Maha Berkuasa.
2. Meyakini bahawa al-Quran adalah kalamullah.
3. Meyakini al-Quran adalah penawar.

Rasulullah S.A.W bersabda bahawa perumpamaan orang yang membaca al-Quran ini ada 4 jenis:

عن أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ أَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم قَالَ :مَثَلُ الْمُؤْمِنِ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ، مَثَلُ الْأُتْرُجَّةِ: رِيحُهَا طَيِّبٌ وَطَعْمُهَا طَيِّبٌ. وَمَثَلُ الْمُؤْمِنِ الَّذِي لاَ يَقْرَأُ الْقُرْآنَ، مَثَلُ التَّمْرَةِ: لَا رِيحَ لَهَا وَطَعْمُهَا حُلْوٌ. وَمَثَلُ الْمُنَافِقِ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُـرْآنَ، مَثَلُ الرَّيْحَانَـةِ: رِيحُهَا طَيِّبٌ وَطَعْمُهَا مُرٌّ. وَمَثَلُ الْمُنَافِقِ الَّذِي لَا يَقْـرَأُ الْقُرْآنَ، كَمَثَلِ الْحَنْظَلَةِ: لَيْسَ لَهَا رِيحٌ وَطَعْمُهَا مُرٌّ .

“Anas ibn Malik berkata , Abu Musa al-Asy’ari berkata: Perumpamaan orang mukmin yang membaca al-Quran bagaikan buah Utrujah, rasa buahnya enak dan baunya wangi. Dan perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca al-Quran bagaikan buah kurma, rasanya enak namun tidak berbau. Sedangkan perumpamaan orang munafik yang membaca al-Quran, bagaikan buah Raihanah, baunya enak namun rasanya pahit. Dan perumpamaan orang munafik yang tidak membaca al-Quran, bagaikan buah Hanzalah, tidak berbau bahkan rasanya pahit.”

(Hadis Riwayat Bukhari (Hadis no. 4632) dan Muslim (Hadis no. 1328))

Marilah kita menjadi Keluarga Malaysia yang menjadikan al-Quran sebagai asas dan kemestian dalam kehidupan seharian agar hidup kita sentiasa diberkati dan dipermudahkan segala urusan.

“KeluargaMalaysia”
“Malaysia Prihatin”
“Pesan Ibu”

YB DATO’ SITI ZAILAH MOHD YUSOFF
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat – HARAKAHDAILY 14/10/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100050312087009/posts/405448024475597/