Yayasan Amal Pulau Pinang sasar 300 pek darah

- Advertisement -

Oleh NAZRI ABD HAMID

PULAU PINANG:
Yayasan Amal Malaysia Pulau Pinang menyasarkan 300 pek darah sekali gus dapat menampung kekurangan bekalan darah di Tabung Darah Negara mutakhir ini.

Tabung Darah Hospital Pulau Pinang menjadi tempat pertama dalam kempen kali ini untuk zon Timur Laut pada Ahad lalu dan Barat Daya pada 10 Oktober.

Pengarah program, Mohamad Razilah Mahamad Nor berkata, pihaknya telah berjaya mengumpulkan 32 pek darah dalam Amal Blood Donation 3.0, Ahad lalu.

- Advertisement -

Menurutnya, program itu adalah hasil kerjasama Yayasan Amal Malaysia, Jabatan Amal Malaysia, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) dan Briged Muslimat.

“Program ini adalah bertujuan membantu meningkatkan bekalan darah negara, di samping sebagai kerja kebajikan bagi membantu mereka yang memerlukan,” ujarnya.

Katanya, program diadakan di empat zon di negeri ini yang mewakili setiap daerah bagi melancarkan proses pendermaan menurut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pada masa pandemik Covid-19 ketika ini.

“Program anjuran Yayasan Amal Malaysia dengan kerjasama Tabung Darah Negara ini akan dilaksanakan pada tarikh dan tempat mengikut seperti yang ditetapkan beberapa zon daerah,” katanya lagi.

Beliau berkata, program itu bakal diadakan pada 17 Oktober ini di daerah Seberang Perai Utara iaitu Darul Hadis Tasek Gelugor, bagi Seberang Perai Tengah di pasar raya Mydin Jalan Baru dan AEON BIG Bukit Minyak sementara di Seberang Perai Selatan akan diadakan di Pasaraya C-Mart, Nibong Tebal.

”Kita akan jadikan program ini sebagai program berkala empat kali setahun dalam membantu pihak hospital untuk kekal dalam keadaan bersedia dalam kes kecemasan,” jelasnya.

Pengarah Jabatan Amal, Baharin Ahmad pula berkata, anggota jabatan itu sentiasa bersedia untuk menjayakan program derma darah pada masa akan datang.

“Kami sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan jabatan kerajaan yang lain dalam membantu aktiviti kebajikan masyarakat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/10/2021

- Advertisement -